Hujung minggu ini pastinya sesuatu yang menarik akan berlaku dalam Kejohanan Moto2 Eropah FIM CEV.

Pusingan pertama berlangsung di Litar Circuito de Albacete, Sepanyol, pastinya litar yang menjadi kegemaran pelumba negara, Hafizh Syahrin.

Pada tahun 2013, Hafizh bersaing hebat dengan beberapa orang pelumba dalam kategori Moto2, antaranya Ramon Ramos, Alex Marinelarena, Kyle Smith dan beberapa pelumba lagi.

Bermula di petak keempat, Hafizh cemerlang mengawal jenteranya dan akhirnya selepas 20 pusingan, dia menamatkan saingan di tempat kedua di belakang pelumba Sepanyol, Roman Ramos, tempat ketiga milik pelumba Britain, Kyle Smith.

Kini empat tahun berlalu, Hafizh kembali lagi atas tiket wildcard bersama pasukannya, Petronas Raceline Malaysia.

Turut menyertai Hafizh kali ini adalah pelumba muda yang mencipta sensasi dalam saingan Cub Prix, Kasma Daniel Kasmayuddin yang turut dikenali dengan gelaran “Dragonboy”.

Bakal melakukan penampilan sulungnya dalam menyertai kelas Moto3, Kasma akan menunggang jentera Honda dengan mewakili pasukan Petronas Sprinta Racing team.

Ia satu pencapaian yang hebat buat pelumba berusia 17 tahun ini, selepas muncul anak muda pertama terpilih menjalani kem akademi latihan VR46 kendalian pelumba legenda Itali, Valentino Rossi, pada tahun lalu.

Bagi yang masih belum mengenali tentang saingan Kejohanan motorsikal Eropah FIM REPSOL CEV, ia boleh dikatakan satu kejohanan untuk pelumba muda sebelum beralih ke saingan MotoGP

Pelumba pasukan Honda Asia, Khairul Idham Pawi juga pernah mencipta nama dalam kejohanan ini.

Jadi buat peminat sukan permotoran, bersediakah anda untuk melihat anak Malaysia menggegar Albacete sekali lagi? Sama-sama kita nantikan!