“Saya mahu masa bersama keluarga.”

Itu hadiah yang diminta oleh Siow Yee Xian, pemain skuasy dan pelajar Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ), yang mencapai keputusan 10A di Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM), baru-baru ini.

Pemain nombor 1 lelaki bawah 19 tahun Malaysia dari Melaka ini merupakan satu-satunya pelajar dari seluruh sekolah sukan di Malaysia yang cemerlang memperoleh 10A pada tahun ini.

Bangga dengan pencapaian Siow pemain sama negeri, saya menemubual pemain tinggi lampai ini untuk artikel Stadium Astro dan program [email protected] yang disiarkan pada 1 tengahari setiap Sabtu di Astro Arena bagi dijadikan teladan atlet pelajar Malaysia dalam mengimbangi sukan dan pelajaran.

Apabila ditanya apakah hadiah terbaik selepas mencapai keputusan10A, Siow termenung seketika dan akhirnya berkata dia ingin bercuti dan meluangkan masa bersama keluarga.

Saya berasa sebak kerana faham apa yang diinginkan pemain 17 tahun ini kerana pernah melalui perjalanan sebagai atlet pelajar sejak berumur 8 tahun dan rutin sibuk dalam mencapai impian menjadi pelajar dan atlet skuasy terbaik amat mencabar dari segi mental, fizikal dan emosi.

Siow bertekad menjadi pemain profesional antarabangsa dan pada masa yang sama meneruskan pelajaran di peringkat pengajian tinggi.

1. Kongsi perasan anda dapat capai 10A di SPM?
Siow: Sangat bangga kerana usaha keras berbaloi dengan keputusan cemerlang ini.

2. Apa makna 10A ini?
Siow: Cukup bermakna untuk ayah ibu dan keluarga dan saya rasa mereka amat gembira kerana telah melakukan yang terbaik untuk menghantar saya ke kelas tambahan dan juga ke tempat latihan setiap hari semasa di Melaka. Ia juga memberi motivasi dan membuktikan saya boleh memberi fokus kepada pelajaran dan skuasy.

3. Bagaimana anda bahagi masa untuk berlatih dan belajar?
Siow: Saya berlatih awal pagi sebelum kelas bermula di SSBJ, selepas kelas berakhir terus makan tengahari dan bersedia untuk sesi latihan petang. Saya pastikan untuk mengulangkaji lebih kurang sejam secara konsisten setiap hari.


4. Rahsia kejayaan?
Siow: Amat penting untuk memberi fokus sepenuhnya dan berdisplin di dalam kelas dan saya akan bertanya kepada rakan dan guru sehingga saya faham. Di gelanggang pula perlu hormati jurulatih serta berlatih dan bermain sepenuh hati.

6. Apakah saat paling sukar hadapi SPM?
Siow: Berasa sangat stres dan risau apabila terlepas kelas beberapa minggu kerana pertandingan di luar negara namun dengan bantuan rakan sekelas, guru dan keluarga semuanya baik.

7. Kenapa sistem sokongan penting?
Siow: Mustahil untuk berjaya berseorangan. Kejayaan 10A dan menjadi menjadi pemain terbaik remaja adalah hasil pengorbanan ayah ibu yang tidak kira penat lelah memberi masa, tenaga dan wang ringgit bagi memastikan saya berjaya. Perwatakan dan siapa diri saya hari ini juga dibentuk oleh guru, jurulatih dan rakan-rakan. Ini usaha satu pasukan.

8. Harapan
Siow: Saya akan terus bermain secara kompetitif pada masa yang sama saya sudah mula A Level di Inti International University & Colleges. Bagi saya, meneruskan pengajian tinggi dapat membuka minda dan memberi keyakinan dalam usaha menjadi pemain skuasy terbaik di negara dan di dunia.