Pembelian penyerang muda berbisa, Erling Haaland, akhirnya disahkan oleh Manchester City.

Bermusim-musim lamanya, bintang muda Norway itu disebut-sebut bakal tiba ke salah satu kelab besar Eropah dan akhirnya City menjadi destinasi pilihan -- mengikut jejak bapanya, Alf-Inge Haaland, yang pernah menyarung jersi kelab itu dari tahun 2000-2003.

Kerjaya dan pencapaian Haaland sehingga ke hari ini boleh diibaratkan sebagai satu iklan jangka panjang, dengan mempamerkan naluri semulajadinya dalam memburu gol tanpa henti.

Dia bagaikan satu jaminan untuk menjaringkan gol setiap kali turun ke padang.

Selepas satu lagi percubaan meraih trofi Liga Juara-Juara (UCL) berakhir dengan kegagalan buat City, yang kecundang di peringkat separuh akhir biarpun mengakhiri perlawanan dengan sejumlah 31 percubaan tepat ke arah pintu gawang lawan, khidmat Haaland diharapkan bakal membawa sentuhan ajaib yang diperlukan bagi memastikan perjuangan mereka musim depan menghadirkan kesudahan berbeza.

Menurut statistik ESPN, Haaland telah menjaringkan gol sebanyak 85 kali dalam 88 perlawanan -- satu angka yang cukup memberangsangkan dan menggiurkan.

Tidak hairanlah namanya diletakkan sebaris dengan Kylian Mbappe dan diramalkan bakal merekodkan pencapaian yang mampu menyaingi Cristiano Ronaldo dan Lionel Messi satu hari nanti.



Namun, ada juga pihak yang kini mula mempersoalkan kesesuaian Haaland bersama City.

Laporan akhbar The Daily Mail mendedahkan bahawa Chelsea memutuskan untuk tidak memburu Haaland gara-gara khuatir akan keserasian gaya permainan pemain itu dengan sifat Liga Perdana Inggeris yang mementingkan kepantasan dan kekuatan fizikal.

Bagi Chelsea, Haaland diberikan lebih banyak ruang dan waktu untuk mengawal bola ketika beraksi dalam Bundesliga, di mana kelebihan itu membolehkan dia menyerlahkan potensi penuhnya.

Ruang dan waktu kawalan bola yang bakal diperolehinya dalam Liga Perdana Inggeris bakal lebih terhad dan berpotensi untuk menjadikannya kurang efektif.

Contoh terbaik buat Chelsea adalah penyerang mereka yang dibeli dengan harga £98 juta (RM525 juta), Romelu Lukaku.

Biarpun tiba dengan rekod jaringan cukup memberangsangkan dari Inter Milan dan pernah beraksi selama bertahun-tahun dalam Liga Perdana Inggeris sebelum ini, Lukaku gagal untuk menyesuaikan diri dengan taktik pengurus Chelsea, Thomas Tuchel dan hanya mampu menjaringkan tujuh gol dalam 24 penampilan setakat ini.
Satu lagi contoh adalah berkenaan dengan bekas rakan sepasukan Haaland, Jadon Sancho, yang kini beraksi bersama Manchester United.

Sancho meraih perhatian ramai di atas persembahan mantap sewaktu bersama Dortmund, di mana dia mencipta peluang saban minggu bagi membantu Haaland membolosi jaring.

Malangnya, rekodnya bersama United setakat ini sekadar tiga gol dan tiga bantuan jaringan.

Keserasian Haaland bersama pengurus City, Pep Guardiola, turut dipersoalkan.



Dalam satu kenyataan awal minggu ini, bekas pemain pertahanan Manchester United, Patrice Evra, mengatakan bahawa City memerlukan seorang ketua dalam kalangan pemain mereka tetapi Guardiola pula membenci pemain sebegitu.

"Guardiola tidak mahukan pemain dengan personaliti yang kuat. Bagi Guardiola, dia adalah ketua mutlak. Disebabkan itulah apabila City berhadapan dengan situasi yang tidak diingini, mereka tidak mempunyai sesiapa di atas padang untuk memimpin dan membantu.

"Guardiola mencipta pasukan yang boleh dia kawal secara keseluruhan. Tidak kira apa pun yang dihadapi, keputusan yang harus dipatuhi hanyalah keputusan dia seorang."

Kenyataan itu disangkal dengan tegas oleh Guardiola, tetapi kenyataan Evra tersebut ada benarnya daripada segi sejarah.

Sewaktu Guardiola mengendalikan Barcelona, dia bertelagah dengan penyerang utama, Samuel Eto'o, sehinggakan penyerang antarabangsa Cameroon itu akhirnya dijual kepada Inter Milan.

Situasi yang sama berlaku dengan pengganti Eto'o, Zlatan Ibrahimovic, yang mendakwa Guardiola mengamalkan sikap pilih kasih dan tidak tahu bagaimana hendak menyerlahkan potensi dirinya secara penuh.

Apabila Guardiola berhijrah ke Bayern Munich, penyerang utama pasukan ketika itu, Mario Mandzukic, pula menjadi seorang lagi yang membuat pengakuan bahawa dia tidak senang hati dengan Guardiola sehingga memaksanya berpindah ke Atletico Madrid, semusim selepas Guardiola tiba.

Namun, salah seorang penyerang terhebat abad ini, Robert Lewandowski, mengakui bahawa dia berjaya mengecapi statusnya ketika ini atas tunjuk ajar Guardiola, di mana dia menjaringkan sebanyak 67 gol dalam dua musim bersama pengurus tersebut.

Segala fakta ini seharusnya diketahui oleh Haaland sebelum ketibaannya, begitu juga dengan Guardiola, di mana dia harus sedar bahawa bakat seperti Haaland tidak harus dipersiakan jika kejayaan ingin dikecapi.

Kedua-dua individu ini bakal diberikan waktu ketika tempoh pra-musim untuk menyesuaikan diri dengan satu sama lain, dan kita bakal saksikan sendiri bagaimana impak yang Haaland bakal bawa.