Apabila Arsenal menandatangani pemain remaja kelahiran Perancis, Matteo Guendouzi, daripada saingan Ligue 2 yang disisihkan oleh pihak pengurusan, penyokong The Gunners tidak meletakkan sebarang jangkaan kepada pemain tengah itu. Dia dilihat lebih sebagai prospek berbanding tersenarai dalam kesebelasan utama.

Pemain berusia 19 tahun daripada akademi Paris Saint-Germain (PSG) itu sudah mula mengukir nama dalam kancah bola sepak Inggeris.

Mengikut jejak langkah kapten Arsenal, Laurent Koscienly, dengan menyertai kelab Ligue 1, Lorient, sebelum mereka tersingkir ke Ligue 2, tetapi, Guendouzi berjaya menyerlah bersama pasukan tersebut dan berjaya memikat Arsenal untuk membawanya ke London.

Beraksi bersama skuad B-18, 19 dan 20 Perancis, pemain tengah itu dikenali dengan kebolehannya melakukan hantaran tepat, mampu menghasilkan peluang ketika menyerang sementara kemas memintas lorongan pemain lawan.

Sebelum saingan Liga Perdana Inggeris musim 2018-19 bermula, rata-rata beranggapan pemain remaja itu belum bersedia untuk menangani cabaran di England. Tetapi Emery meletakkan kepercayaan kepada pemain itu dalam aksi sulung berdepan penyandang juara, Manchester City.

Walaupun mereka gagal beraksi cemerlang, prestasi Guendouzi merupakan sesuatu yang positif buat Arsenal. Walaupun melakukan beberapan kesilapan, dia tidak segan meminta bola daripada rakan sepasukan, melakukan hantaran ketika menyerang dan tidak bersembunyi di atas padang.

Emery terus meletakkan keyakinan terhadap pemain tersebut sebelum digandingkan bersama pemain Uruguay, Lucas Torreira, yang dibawa dari Sampdoria.

Arsenal kini ditunjangi tiga pemain tengah -- Granit Xhaka, Torreira dan Guendouzi -- namun Emery lebih memberikan peluang beraksi kepada pemain muda itu yang sudah mula menyesuaikan diri dengan corak permainan di England.

Impak yang ditampilkan Guendouzi telah memberikan inspirasi kepada The Gunners, prestasi cemerlang yang ditampilkan pemain itu telah memaksa Mohamed Elneny diketepikan dan menjadi pilihan yang unik buat Emery.

Lorongan tajam yang dilakukan kepada jentera serangan secara konsisten meletakkan dirinya kekal dalam kesebelasan utama Arsenal.

Bijak membaca rentak permainan, sekali gus mempamerkan kematangan yang jauh berbanding usianya, bekas bintang Arsenal, Emmanuel Petit, turut dapat melihat dirinya dalam pemain muda itu sementara menyifatkan Guendouzi sebagai "enjin pasukan".

Ternyata Arsenal telah berjaya melakukan perpindahan yang bijak dengan mendapatkan Guendouzi yang berpotensi menjadi pemain tengah terbaik dunia. Namun, perjalanan untuk bergelar pemain bertaraf dunia sangat panjang dan mustahil untuk menjangkakan masa depan seseorang pemain.

Kemampuan dimiliki Guendouzi mampu menjadikan dirinya selaku kapten Arsenal pada masa akan datang, namun polisi kelab yang menjana kewangan selepas membentuk pemain mampu membuka mata beberapa kelab ternama Eropah untuk menyambar khidmatnya.