Pep Guardiola jelas enggan terjun kepada persoalan bilakah agaknya Manchester City kendaliannya akan mengesahkan kejuaraan selepas meraih lapan kemenangan dalam liga dan 13 dalam semua pertandingan selepas menundukkan West Brom 3-2 di The Hawthorns semalam.

“Kami mahu menang dengan Arsenal dalam liga Ahad depan dan kami mahu mengalahkan Napoli dalam Liga Juara-Juara, Rabu ini,” katanya seperti dipetik oleh akhbar The Mirror. “Kedua-duanya itu adalah sasaran kami berikutnya.”

Tetapi pengurus berbangsa Sepanyol itu bertegas bahawa mereka belum beresdia untuk mengorbankan permulaan cemerlang pada musim ini yang telah memberikan mereka 35 gol daripada 10 perlawanan liga setakat ini.

Guardiola menambah: “’Mood’ kami bagus. Kami percaya kami akan menjaringkan gol dan dibolosi beberapa. Kami berupaya melakukan itu. Anda lihat kepada bangku simpanan dan anda lihat berapa ramai pemain bagus yang ada di sana.

“Jesus perlu bemain dengan bagus kerana dia tahu Sergio (Aguero) ada di sana. Keputusan juga membantu – menang, menang, menang. Cara kami bermain sepanjang 90 minit meyakinkan saya.”

Dalam pada itu, dia percaya pasukannya perlu lebih klinikal daripada yang ditunjukkan di The Hawthorns selepas gagal menterjemahkan penguasaan besar mereka kepada lebih banyak gol.

Dia menjangkakan mereka akan terus memperbaiki permainan, dengan mengungkapkan: “Kami mahu memenangi gelaran-gelaran dan kami perlu lebih klinikal tapi cara kami bermain, terutama dalam separuh masa kedua, adalah sangat bagus.

“Sudah pasti banyak lagi yang akan menyusul. Kami pernah menang 5-1, 6-0 dan 7-2 dan perlawanan terbaru ini 3-2, jadi banyak lagi yang akan mendatang,” katanya.

Guardiola turut menolak andaian pengurus Liverpool, Jurgen Klopp, bahawa City akan memenangi Liga Perdana Inggeris (EPL) menjelang Januari depan.

Klopp membuat komen itu dalam sebuah majalah Perancis tetapi pengurus City itu bingkas menepisnya sebagai “tidak realistik”.

Ketika komen berkenaan diajukan kepadanya dalam satu sidang akhbar selepas perlawanan, Guardiola membentak: “Anda seorang Inggeris, pernahkah anda tahu sebuah pasukan menang kejuaraan pada bulan Januari? Tidak, bukan? Ia sama-sekali tidak realistik.”

Tetapi ia akan memerlukan sesuatu yang istimewa untukmenggagalkan City sekarang – mereka telah meraih 28 mata daripada 10 perlawanan dan tiada pasukan yang gagal memenangi liga selepas menghimpun sedemikian banyak mata kecuali Manchester United kendalian Ron Atkinson pada 1985-86.

Pengurus West Brom, Tony Pulis, yang turut tertarik dengankecemerlangan City, bagaimanapun, mengingatkan akan ada banyak halangan buat mereka dalam pemburuan bergelar juara.

“Tidak syak lagi mereka adalah salah satu pencabar utama tapi ia satu musim yang panjang. Dengan terbabit dalam semua pertandingan piala, City perlu mengharapkan nasib lebih baik dengan kecederaan dan turun-naik persembahan.

“Musim sejuk akan tiba dan anda lihat apa yang terjadi kepada Manchester United ketika mereka berkunjung ke Huddersfield di mana keadaannya berangin dan basah.

“Ia (kejuaraan) belum lagi pasti milik mereka,” kata Pulis.