Pep Guardiola tidak pernah sesugul ini. Berpakaian serba hitam sekembalinya dari Monaco, dia seolah-olah akan menghadiri satu majlis pengebumian.

Kekecewaan ditunjukkan jalan keluar dalam pusingan 16 Liga Juara-Juara UEFA (UCL) minggu lalu, adalah sesuatu yang baru buatnya.

Buat kali pertama dalam hidupnya, dia terpaksa menelan pahit kegagalan ke peringkat separuh akhir UCL selepas kejayaannya yang lebih membanggakan ketika mengemudi Barcelona dan kemudian selama tiga musim di Bayern Munich.

Berbanding dia mengecewakan penyokong The Citizens, pemain-pemainlah yang lebih mengecewakan dirinya.

Lantaran itu, media yang sangat kritikal di Britain meramalkan Guardiola tidak akan bermurung lama, sebaliknya akan membalas dendam terhadap pemain-pemain Manchester City yang diberikannya sepenuh kepercayaan tapi kini menghampakannya.

Khabarnya, Pep akan melakukan rombakan besar-besaran terhadap barisan pemainnya pada musim panas ini, dengan ketidaktentuan masa depan sehingga 17 pemain untuk terus menabur bakti di Stadium Etihad.

Sejak mengambil alih daripada Manuel Pellegrini pada akhir musim lalu lagi, Guardiola mahu membeli sehingga tujuh muka baru. Hasratnya ketika itu tertangguh dan dia masih boleh bersabar tapi tidak lagi ketika ini.

Pada waktu itu, pengurus dari Catalan itu diberitahu sebarang pembelian hendaklah dilakukan dalam dua musim panas berbeza dengan bajet £200 juta.

Tersingkirnya City kepada AS Monaco dengan agregat 6-6 dan tewas dengan peraturan gol di tempat lawan, sekadar akan mempercepatkan langkah itu sejurus musim ini berakhir.

Enam pemain berada dalam keadaan bahaya. Gael Clichy, Yaya Toure, Pablo Zabaleta, Willy Caballero, Bacary Sagna dan Jesus Navas, yang masing-masing tamat kontrak akhir musim ini, tiada jaminan akan mendapat sebarang pembaharuan. Pemain berusia 19 tahun, Tosin Adarabioyo, pula belum bersetuju dilanjutkan.

Lima pemain yang dipinjamkan ke kelab lain musim ini, Joe Hart, Eliaquim Mangala, Samir Nasri, Wilfried Bony dan Jason Denayer dijangka dilepaskan.

Ketua pasukan, Vincent Kompany, yang tidak pun tersenarai sebagai pemain simpanan ketika kunjungan ke Monaco, harus dalam kebimbangan.

Begitu juga penyerang, Sergio Aguero, yang bergelut untuk menyesuaikan diri dengan falsafah Guardiola. Dia sebelum ini kehilangan tempatnya kepada pemain Brazil, Gabriel Jesus, yang sering mendapat pujian pengurus itu.

Malah, jika Pep terus berdendam, Manchester City rata-rata akan berwajah baru, bermula pada pra-musim 2017-18.