Great Britain muncul satu-satunya pasukan yang masih mengekalkan rekod kemenangan bersih apabila mencatatkan dua kemenangan daripada dua perlawanan FIH Pro League setakat ini.

Terbaharu, Great Britain tidak berdepan masalah untuk menjinakkan pasukan ranking kesembilan dunia, New Zealand, dengan kemenangan bergaya 6-2 di Stadium Hoki Nga Puna Wai, Christchurch.

Ia merupakan aksi lebih bertenaga ditunjukkan anak buah Danny Kerry yang sebelum ini terpaksa melakukan kebangkitan dramatik untuk menewaskan Sepanyol 6-5 selepas ketinggalan empat gol dalam aksi di Valencia hujung bulan lalu.

Kemenangan 100 peratus itu membolehkan Great Britain mengungguli carta liga FIH Pro League mengatasi pasukan tempat kedua, Belanda, yang mencatatkan satu kemenangan dan satu seri daripada dua perlawanan mereka setakat ini.

Juara Piala Dunia 2018, Belgium, yang merupakan penghuni ranking pertama dunia terpaksa akur untuk berada di kedudukan ketiga diikuti Sepanyol di tempat keempat.

Empat pasukan terbawah, iaitu New Zealand di tempat kelima, Australia keenam, Jerman ketujuh dan Argentina kelapan.

Bagaimanapun, Jerman masih tidak bermain sebarang perlawanan lagi setakat ini dengan aksi pertama mereka dijadualkan bermula 10 Februari menentang Australia.

Bagi saingan wanita pula, Argentina mengungguli carta liga FIH Pro League diikuti Belgium, Australia dan Belanda menduduki kelompok empat teratas.

New Zealand pula meraih kemenangan pertama daripada tiga aksi apabila membelasah juara Sukan Olimpik 2016, Great Britain 5-1 yang menyaksikan pemainnya, Merry Olivia, meledak hatrik dalam perlawanan itu.

Kemenangan itu membolehkan New Zealand naik ke kedudukan kelima, memintas Amerika Syarikat yang jatuh di tempat keenam manakala Great Britain terperosok menghuni tangga tercorot liga.

Dua lagi pasukan yang berentap dalam FIH Pro League kategori wanita iaitu Jerman dan China masih belum bermain sebarang perlawanan lagi.