Hanya sekelip mata, skuad Harimau Malaysia kini punyai jurulatih yang baharu selepas sebelum ini dikendalikan Datuk Ong Kim Swee.

Perlantikan Gomez selaku jurulatih skuad senior kebangsaan merupakan antara perubahan awal yang dilakukan presiden baharu FAM, Tunku Ismail Sultan Ibrahim selepas sah menerajui badan induk itu secara rasmi pada 25 Mac lalu.

Manakala Kim Swee diberi kepercayaan untuk ambil alih tugas mengemudi skuad Bawah 22 Tahun daripada Frank Bernhardt.

Reputasi Gomez tidak boleh dipertikai kerana dia berjaya hadirkan pelbagai kejuaraan bersama Johor Darul Takzim (JDT).

Antaranya sudah pasti juara Piala AFC 2015 di samping gelaran berturut-turut Liga Super pada 2015 dan juga 2016.

Malah kejayaan pertahan gelaran Liga Super pada musim 2016 juga dilakar dengan pasukan kendaliannya mencatat rekod tanpa kalah sepanjang musim.

Ini merupakan kali pertama Gomez mendapat tugasan untuk melatih pasukan kebangsaan dan pasti ramai akan menantikan bagaimana corak permainan yang mampu diterapkan oleh beliau.

Secara peribadi, penulis yakin Gomez mampu berikan kelainan kepada skuad Harimau Malaysia tetapi kelompok pemain untuk wakili skuad negara perlu diperbesarkan lagi.

Sudah pasti keutamaannya bakal tertumpu kepada pemain-pemain yang mewakili JDT ketika ini kerana sudah biasa dan memahami gaya permainan mereka dan menjadi satu cabaran untuk membentuk persefahaman mereka bersama dengan pemain-pemain daripada pasukan lain.

Semoga Gomez mampu laksanakan tugas dan harapan besar peminat bola sepak tanah air yang mahukan satu pasukan yang lebih mantap dan mampu beri cabaran di peringkat antarabangsa.