“Dia tidak pernah melakukannya ketika di Blackburn,” kata satu tajuk dalam laman sesawang akhbar British, Daily Mail – akhbar ketiga terbesar di United Kingdom dengan purata pengedaran 1,246,568 sehari.

“Bekas pemain Rovers, Herold Goulon, menjaringkan gol dari kawasan pasukannya sendiri pada minit terakhir satu perlawanan Piala Malaysia,” tambah tajuk kecilnya.



Laman sesawang satu lagi akhbar British, The Sun, turut memuat naik satu video gol itu dengan kapsyen: “Ini adalah detik menakjubkan apabila pemain yang gagal menyerlah di Blackburn dan Middlesbrough menjaringkan gol menerusi satu sepakan percuma dari kawasan padangnya sendiri.”

Goulon, kini 31 tahun, yang berasal dari Paris, barangkali tidak diingati ramai dalam dua tempoh berbezanya bermain di England tapi jaringan bertuahnya itu malam Sabtu lalu itu dikongsi dari negara itu hinggalah ke Sepanyol, Ukraine, Belanda, malah hingga ke Indonesia.

“Bekas pemain tengah Middlesbrough, Herold Goulon, kini menjadi sensasi di internet selepas sepakan percuma menakjubkannya,” kata laman web www.gazettelive.co.uk.

“Dan ia pastinya akan tercatat sebagai gol terbaik pernah dijaringkan dalam kariernya,” kata The Sun lagi, yang menambah: “Dia pernah bermain dalam dua tempoh berbeza di England, dengan memulakan karier profesional di Middlesbrough pada 2006 selepas beraksi singkat di Lyon.

“Malangnya, Goulon gagal membuat sebarang penampilan bersama Teesside dan kesudahannya berpindah menyertai Le Mans pada 2008.”

Pemain berketinggian 1.95 meter itu menghabiskan dua tahun di Riverside. Tapi di sebalik pernah dibandingkan dengan Patrick Vieira ketika ketibaannya, Goulon hanya beraksi untuk pasukan simpanan kelab itu tanpa sebarang penampilan dalam Liga Inggeris – disusuli perpindahan ke Le Mans dan kemudian, Blackburn (2010-12).

Malah, bukan setakat media antarabangsa berkenaan, jurulatih Pahang, Dollah Salleh sendiri turut terkejut dengan jaringan itu – pada satu ketika berang dengan tindakan pemainnya itu.

Menghampiri wisel penamat perlawanan peringkat pertama separuh akhir Piala FA di Stadium Darul Makmur itu, Goulon memilih untuk mencuba nasibnya melalui sepakan percuma dari jarak kira-kira 55 meter pada minit ke-92 itu.

Penyokong Tok Gajah turut “naik gila” melihat sepakan lambungnya menjunam mengatasi penjaga gol Perak, Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy – juga penjaga gol simpanan pasukan kebangsaan – untuk Pahang selesa dengan kemenangan 3-1.

Ditemu bual The Star Online selepas perlawanan, Dollah mendedahkan dia mulanya berang dengan tindakan Goulon mahu menyepak terus sepakan percuma dari jarak itu.

Dollah dilaporkan berteriak: “Apa yang kamu buat?” sambil memalingkan mukanya selepas sepakan itu diambil. Namun, dia dikejutkan oleh sorakan bergema penyokong.

“Saya bertanya apa yang berlaku dan pegawai-pegawai pasukan memberitahu sepakan Goulon itu masuk terus.

“Ia satu kelegaan untuk mendapat gol ketiga itu kerana kami kini memiliki kelebihan selesa untuk peringkat kedua nanti,” jurulatih itu dipetik sebagai berkata.

“Pemain di Malaysia menjaringkan sepakan percuma dari kawasan pasukannya sendiri,” kata tajuk laman sesawang Sepanyol, MARCA, yang lazimnya banyak tertumpu kepada laporan LaLiga, khususnya Real Madrid dan Barcelona.

Turut tidak ketinggalan memuatkan laporan gol itu ialah Yahoo Sports, Eurosport.com, BBC News, Goal.com, akhbar The Guardian, termasuk juga laman theworldgame.sbs.com.au, bolasport.com (Indonesia) serta www.ouest-france.fr di negara asal pemain itu sendiri.

Kebetulan, sebuah laman web Ukraine, isport.ua, turut menularkan satu video seorang penjaga gol menyepak masuk satu sepakan percuma dari jarak 40 meter pada minit terakhir satu perlawanan divisyen tiga Liga Romania, Khamis lalu.

Menyaksikan video jaringan itu, ia tidak pun hampir dengan gol menakjubkan oleh Goulon.

Nasib atau tidak, gol tetap gol dan buat beberapa hari ini, pemain sasa Pahang itu terus sensasi di internet, yang bagaimanapun tidak menaruh simpati terhadap Hafizul Hakim yang disamakan dengan Loris Karius dan David Seaman (https://www.facebook.com/theguardian/posts/10157945324741323).

Nota kaki: Dalam perkembangan terkini, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bersetuju mencalonkan gol Goulon ini untuk dipertimbangkan bagi Anugerah Puskas, Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).