Ia harus momen yang dinanti-nantikan Gareth Bale sejak ‘kepulangannya’ ke Tottenham Hotspur.

Masuk sebagai pemain gantian ketika berdepan Brighton di halaman sendiri 2 November lalu, Bale menyudahkan lambungan Sergio Reguilon untuk menanduk masuk pada minit ke-73 bagi kemenangan 2-1 Spurs sebagai isyarat dia sudah kembali.

Jaringan itu, yang menyusul tujuh tahun selepas penampilan terakhir Bale dalam jersi Spurs, segera diraikannya dengan teriakan “Vamos” (Let’s go/Ayuhlah) yang hanya dia sendiri tahu apa maksud sebenarnya yang tersirat.




Namun, komen-komen di media sosial menafsirkannya sebagai sindiran tajam terhadap Real Madrid, pasukan LaLiga yang sudah berkerat rotan dengannya hingga dia dipinjamkan semusim kepada pasukan lamanya itu.

Teriakan “Vamos” itu seakan-akan jawapannya kepada Los Blancos di mana pada hari-hari terakhirnya, dia sering dicemuh penyokong dan media Sepanyol, khususnya kerana kerap bermain golf selain didakwa gagal menguasai bahasa Sepanyol dan tidak bersefahaman lagi dengan Zinedine Zidane.

Tapi, semua itu harus sudah dilontar jauh-jauh daripada ingatannya kerana apa yang penting kini ialah Bale sudah menemui kegembiraan sekembali ke London Utara.




Sebagaimana dikongsi Reguilon, rakan yang menyusulinya daripada Real Madrid, kepada laman givemesport.com, Bale semakin menyesuaikan diri dengan persekitaran di kota London semula, apatah lagi dengan bahasa pertuturan tidak lagi menjadi kekangan.

Spurs, sebagai majikan barunya, tidak ketinggalan melakukan sesuatu untuk memastikan dia benar-benar gembira dengan mengeksplotasi ‘kelemahannya’ – mereka menyediakan lapangan golf mini di padang latihan kelab itu.

Bercakap kepada El Larguero, sebuah program radio Sepanyol yang berkisar kepada bola sepak, Reguilon mendedahkan lapangan golf yang pendek telah ditambah di padang latihan khusus untuk Bale.

“Saya sengaja bertanya dan mereka memaklumkan ia disediakan untuk dia. Ada beberapa lubang yang pendek, barangkali 30 meter. Saya tidak dapat mempercayainya,” ujarnya lagi.

Umum tahu mengenai ketaksuban Bale terhadap golf menjelang tahun-tahun terakhirnya di Real Madrid hinggakan pernah ketika satu tugasan antarabangsa tahun lalu, pemain berusia 31 tahun itu bergambar di sebelah satu sepanduk yang tertulis: “Wales. Golf. Madrid. Dalam turutan itu!"

Reguilon juga mendedahkan Bale seakan-akan seorang yang berbeza di Tottenham tanpa kekangan bahasa Sepanyol.

“Bahasa adalah segala-galanya buatnya. Dia sebenarnya boleh bertutur bahasa Sepanyol dengan baik tapi komunikasi dan kebiasaannya bermakna dia lebih gembira di England,” katanya.

Di sebalik semua itu, Bale belum lagi memulakan perlawanan dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) musim 2020/21 ini tapi sudah kerap tampil selaku pemain gantian. Itu bukannya tidak bersebab.




Pengurus Spurs, Jose Mourinho, menjelaskan Bale belum bersedia memulakan perlawanan dan akan lebih ditampilkan dalam Liga Europa untuk meraih kecergasan sepenuhnya.\

“Saya tidak akan menurunkannya untuk 90 minit dalam EPL dan akan lebih berhati-hati dengannya sehingga saya rasa dia sudah bersedia.

“Tapi seperti diserlahkannya ketika menentang Brighton… personaliti yang hebat, impak mengagumkan dan satu gol amat penting buat kami.

“Bersama Harry (Kane), kedua-duanya menunjukkan cara berpengalaman untuk bermain 15 minit terakhir, sama-sama cerdik dan secara teknikalnya sangat baik, memegang bola dan membawanya ke zon yang tidak membahayakan kami,” ujarnya.

Vamos, Gareth, Vamos!