Kem gimnastik negara kini menumpukan perhatian terhadap latihan menyesuaikan diri dengan peraturan baru yang bakal diterapkan tahun depan.

Bagi jurulatih gimnastik artistik kebangsaan, Ng Shu Wai, syarat-syarat baru itu tidak begitu sukar, tetapi ia mampu membantu mendapat beberapa mata yang penting buat atlet negara.

"Ada sedikit perubahan kemahiran dan hubung kaitnya. Sebenarnya bagi kami tidak berapa susah, ia lebih membantu.

"Rutin ini akan memberikan mata tambahan sebanyak 0.2. Atlet mampu memperkemaskan lagi pendaratan mereka dalam acara seperti palang tidak sejajar," katanya di Nadi Arena hari ini.

Shu Wai juga berkongsi mengenai status terkini ratu gimnastik negara, Farah Ann, yang dikhabarkan mengalami kecederaan selepas Sukan Olimpik Tokyo 2020.

"Dia tidak mengalami kecederaan, cuma kami memberinya rehat lebih sebulan dan dia baru sahaja kembali berlatih.

"Tapi dia belum lagi menentukan matlamat utamanya untuk tahun depan."