Apabila tewas dalam dua perlawanan berturut-turut saingan Liga Perdana Inggeris minggu lalu, sudah tentu ia memberi sedikit tekanan kepada pemain-pemain Liverpool apabila berhadapan dengan Leicester City di Stadium King Power esok. Ia merupakan perlawanan yang amat penting bagi pemain-pemain Liverpool terutama dalam meletakan pasukannya berada pada kelompok yang boleh melayakkan mereka secara automatik ke Liga Juara-Juara Eropah musim hadapan. Inilah cabaran amat getir kepada Jurgen Klopp untuk meningkatkan kembali keyakinan pemain-pemainnya pada pertemuan esok.

Bukan tugasan yang mudah Liverpool apabila berhadapan Leicester City di laman mereka sendiri kerana Leicester City juga memerlukan kemenangan untuk terus bersaing memberi tekanan pada pendahulu liga selain mencari slot secara automatik ke Liga Juara-Juara Eropah. Melihat daripada rekod pertemuan kedua-dua pasukan, memanglah ia memihak kepada Liverpool, namun dalam keadaan terkini pasukan Liverpool, ia amat berat sekali untuk mencipta kemenangan di tempat lawan.

Apa yang menarik tentang pertemuan kedua-dua pasukan ini ialah kemampuan ketajaman bahagian hadapan mereka di mana kedua-kedua pasukan ini mempunyai penjaring gol yang tajam seperti Jamie Vardy dan Mohamed Salah yang mampu memainkan peranan untuk memberi kemenangan pada pasukan masing-masing. Selain mempunyai ketajaman penyudah yang baik kepantasan mereka juga akan diberi tumpuan kerana dengan larian-larian pantas kedua-dua penyerang ini mampu memerangkap pertahanan lawan. Ini diakui sendiri oleh Jurgen Kloop dan Brendan Rodgers dimana kedua-dua pemain ini akan membawa kesulitan pada mereka untuk menyusun strategi yang lebih kemas terutama ketika bertahan untuk pasukan masing-masing.

Dengan reputasi sebagai penjaring terbanyak liga setakat ini dengan 16 gol itu sudah menunjukkan kegairahan Mohamed Salah untuk terus mengukir namanya dan melonjakkan kembali kegairahan Liverpool untuk mencipta kemenangan. Sementara bagi Jamie Vardy pula ini masa terbaik untuk menggembalikan keyakinan diri dan prestasi yang terbaiknya setelah pulih dari kecederaan. Adakah Jamie Vardy mampu membantu Leicester City membenam Liverpool? Sama-sama kita tunggu pertemuan kedua-dua pasukan esok.