Hanya beberapa kerat sahaja pasukan berstatus kegemaran yang boleh bermegah dalam Piala Dunia Russia, selebihnya masih terkial-kial.

Ini rumusan saya sesudah seminggu pusingan pertama peringkat kumpulan Piala Dunia 2018 berlalu.

Secara umumnya, kerancakan Piala Dunia kali ini belum lagi memuncak memandangkan kebanyakan pasukan utama masih belum mencapai potensi yang seperti diharapkan.

Dalam temasya ke-11 yang berlangsung di Eropah, destinasi Timur Eropah itu belum menampakkan kelebihan buat 14 wakil Eropah biarpun tuan rumah, Russia, Perancis, Denmark, Croatia, Serbia, Sweden, Belgium dan England mengakhiri ujian sulung dengan mata penuh, namun aksi mereka masih jauh daripada meyakinkan.

Pasukan handalan seperti Perancis, Sepanyol, Brazil, Argentina, Jerman mahupun England gagal menghadirkan prestasi yang benar-benar mengancam sehingga mengundang kritikan hebat.

Seperti mangsa percaturan sendiri, mereka kehilangan magis pada detik penting. Perancis, Argentina dan England memiliki pemain berkaliber namun masih mencari keserasian. Kem Brazil dan Jerman pula seharusnya menyalahkan diri sendiri kerana bersikap terlalu yakin selain membenarkan keupayaan individu terlalu menguasai permainan.

Aksi menarik setakat ini melibatkan perlawanan di antara Sepanyol dengan Portugal dan kemenangan mengejut Mexico ke atas Jerman.

Sementara itu, wakil setiap zon CONCACAF, Asia dan Afrika pula masing-masing melakar satu kemenangan melalui Iran, Senegal dan Mexico.

Apapun, temasya Russia 2018 tetap menarik apabila pasukan-pasukan kerdil menyajikan aksi berani.

Tiada istilah pelengkap jadual dalam perlawanan sulung membabitkan mereka. Meskipun mengambil pendekatan berhati-hati, pasukan seperti Panama, Iceland, Mexico, Maghribi mahupun Arab Saudi tidak berkompromi terhadap permainan mereka.

Mereka telah menunjukkan di sebalik status mereka, corak permainan moden yang gemar menyerang, menggunakan hantaran pendek dan membina serangan dari bawah semakin kerap diketengahkan.

Cuma yang agak mengecewakan ialah pendekatan negatif Iran dalam kekalahan 0-1 kepada Sepanyol awal pagi tadi.

Langkah itu amat difahami kerana mereka ingin mencuri mata sesudah memahat kemenangan ke atas Maghribi.

Justeru, memasuki perlawanan kedua, bahang tekanan pasti lebih hebat dan tiada lagi istilah santai buat mana-mana pasukan.