Tidak hanya mementingkan latihan bola sepak semata-mata, pihak Astro Kasih Kem Bola telah merangka satu jadual komprehensif sepanjang 10 hari di Barcelona.

Lawatan sambil belajar menjadi salah satu aktiviti utama buat para peserta. Selain belajar tentang falsafah bola sepak kelab Barcelona, sejarah dan budaya Cataluna juga diberikan penekanan kepada mereka.

Peserta Kem Bola cukup bertuah apabila diberi peluang keemasan oleh pihak Astro Kasih untuk melawat Stadium Camp Nou, stadium yang kerap kali menjadi saksi magis yang dicipta nama-nama terbesar kelab Barcelona.

Messi, Suarez dan Neymar sentiasa menjadi sebutan dan nyanyian penyokong FC Barcelona yang menonton perlawanan di sini, dan wajah keriangan dan kegembiraan jelas terpancar di wajah para peserta.

Selain Camp Nou, mereka juga dibawa melawat beberapa bangunan bersejarah yang direka oleh arkitek tersohor di Barcelona iaitu Gaudi, selain mengambil gambar kenangan di Stadium Olimpik yang menjadi venue Sukan Olimpik 1992.

Apabila ditanya perasaan mereka bersiar-siar di kota Barcelona, semua peserta sedar akan betapa bertuahnya mereka diberi peluang sebegini.

Hentian terakhir untuk sesi lawatan sambil belajar para peserta adalah Pantai Barceloneta, pantai yang paling popular di Barcelona. Dengar cerita, pantai ini wajib dijadikan tempat persinggahan oleh setiap pelancong yang melawat Barcelona.

Sedang kami sibuk mengambil gambar kenangan berlatar belakangkan matahari yang semakin terbenam, tiba-tiba ada suara yang berkata:

"Kak Dayang, Kak Dayang! Itu pemain Brazil kan?"

"Kak Dayang, Dani Alves ke tu?", tanya seorang lagi peserta.

Nampak gayanya nasib masih menyebelahi kami! Siapa sangka, memang rezeki para peserta Astro Kem Bola apabila sekali lagi dihidangkan peluang keemasan untuk berjumpa dan bersalaman dengan pemain kebangsaan Brazil yang juga merupakan bekas pemain Barcelona!

Pelbagai mimpi telah menjadi realiti sepanjang program Astro Kem Bola di sini. Apa lagi yang bakal kami temui di Barcelona? Nantikan diari kami yang seterusnya!