Alunan girang sebuah simfoni pada kebiasaanya menjanjikan kemewahan dan keindahan yang mengusik jiwa. Sekeras mana sekalipun sanubari manusia, ia mampu dilembutkan oleh perpaduan orkes yang diperankan oleh individu-individu yang mahir dalam satu ritma yang ditulis dengan citarasa yang tinggi.

Ketika kita hadir untuk menikmati satu persembahan orkestra yang lengkap, jangkaan kita adalah untuk duduk di sebuah teater megah selama dua jam sambil telinga kita dimanjakan oleh keutuhan permainan irama yang bersepadu. Dan irama tersebut bukanlah irama biasa melainkan sebuah pertunjukan dengan muzikaliti yang tinggi dan di atas rata-rata petunjukan lain.

Yang terjadi nun di Milan saat ini adalah terjemahan simfoni bola sepak ulung sambil diketuai oleh konduktor istimewa, Simeone Inzaghi. Pinetina menjadi ‘studio’ latihan yang dimanfaatkan sebaik mungkin oleh lelaki 45 tahun asal Emilio-Remagna tersebut. Paling istimewa ialah kenyataan bahawa tiada siapa yang menjangkakan ketika tiba pertengahan musim, tiket pertunjukan muzik Inzaghi ini adalah yang paling laris jualannya dan yang paling enak pula dilihat mata kawan dan lawan.

Permulaan musim 2020/21 di Itali menampilkan jangkaan paling seimbang dalam dekad terakhir bolasepaknya. Sebelum Antonio Conte memacu kejuaraan 2021 selepas dua tahun mencuba, Juventus diisytihar ‘raja tanpa lawan’ dengan sembilan Scudetto berturut-turut. Biarpun tembok tua Turin runtuh dengan dramatik di bawah kendalian Andrea Pirlo, pessimisme yang berakar dari monopoli satu pasukan terlalu lama masih berselubung dan tiada siapa yang berani meneka siapa akan menjadi kuasa besar seterusnya di sana.

Stefano Pioli menukar musuh setempat Inter, AC Milan, dari genre komedi kepada senandung rock yang kompetitif. Luciano Spaletti pula adalah lelaki dengan misi untuk mengukir semula senyuman di setiap warga Naples. Dalam keadaan terdesak, Juventus berhempas pulas menghadirkan kembali Max Allegri biarpun terpaksa menculik beliau dari tangan Real Madrid. Lazio bergantung harap kepada sentuhan magis dari kepulan asap tembakau Maurizio Sarri. Akhir sekali, kota Rom menyaksikan kemunculan semula Jose Mourinho dalam rangka menghilangkan dahaga kejuaraan dalam setiap insan yang menyokong I Giallorossi.

Pendek kata, buat pertama kalinya sejak 2010 Serie A kembali menjadi ‘pasar terbuka’ dan sesiapa saja yang hadir dengan bidaan paling bijak bersama sedikit tuah akan dinobat sebagai raja baru.

Inter dibawah Conte adalah Inter yang ringkas dan khusus tanpa terlalu banyak simpang-siur. Kalau 20/21 adalah musim di mana mereka muncul rajanya Serie A, musim sebelumnya lebih kepada raptai penuh. Berbekal formasi klasik 3-5-2 yang bertukar kepada 5-3-2 ketika bertahan, dua striker yang bertukar-tukar gol setiap perlawanan, bek sisi berpengalaman dan boleh diharap; kapal kejayaan dilihat tidak mungkin untuk tidak bersauh di kota fesyen itu.

Namun krisis kewangan yang dialami oleh pemilik memaksa pelan kelab untuk sekali lagi dirombak. Jeneral perang Conte bersama bersama beberapa leftenan kepercayaannya termasuk Romelo Lukaku bingkas mengucap selamat jalan yang sekaligus meresahkan sebilangan besar peminat setia Nerazzuri.

Keadaan tegang ini memaksa pengurusan Inter untuk berjudi dan mereka tahu benar bahawa perjudian ini sama ada akan memberikan keuntungan besar atau malu yang amat dalam; tiada pertengahan akan nasib yang bakal mereka alami. Namun Inzaghi menolak untuk menyerah awal dengan melakukan beberapa langkah yang dikira sangat berani dan lari dari norma ortodoks bola Itali.

Hakan Calhanoglu secara kontroversi diambil percuma dari seberang Milan dan sejurus sebelum pintu perpindahan musim panas ditutup, Edin Dzeko pula diculik dari AS Roma. Langkah ini menimbulkan syak wasangka dari peminat hitam biru seluruh dunia yang mengharapkan nama yang lebih berprestij biarpun Inzaghi tiada pilihan lain selain percaya pada buku kira-kira beliau sendiri.

Hasilnya? Menakjubkan. Inter menikmati bola sepak terbaik sejak skuad treble Mourinho 2010 dan ramai bersetuju bahawa permainan mereka justeru lebih baik dari dua tahun di bawah Conte. De Vrij, Bastoni dan Skriniar menjadi trisula utuh dalam bertahan, Brozovic dan Barella diundi ramai sebagai duo tengah terbaik liga, kewaspadaan Darmian diganti dengan naluri serangan abstrak Denzel Dumfries dari sayap kanan sementara dua amunisi utama Lautaro dan Dzeko memastikan peluru mereka menembus setiap lawan yang cuba menghalang.

Final Supercoppa 2022 bukan sahaja menyaksikan piala tersebut dijulang buat pertama kali dalam 11 tahun, malah ia menjadi simbol kuasa baru Itali. Mereka bukan hanya mengalahkan juara bertahan tetapi menyeksa lawan dengan sistem yang jelas sambil membisikkan simfoni mereka di telinga setiap pemain Juventus yang semakin longlai keletihan. Buktinya, mereka menampilkan 65% penguasaan bola, hampir dua kali ganda jumlah hantaran berbanding Juve (815 v. 482) dan 23 percubaan ke gawang Mattia Perin berbalas hanya lapan yang dihasilkan pasukan hitam putih tersebut.

Adakah simfoni ini mampu mengekalkan rentak halusnya sehingga musim panas nanti? Apakah Inzaghi mampu membawa Nerazzuri sekali lagi merasai manisnya treble 12 tahun selepas Mourinho? Bolehkah skuad yang kelihatan agak nipis ini mengatasi kecederaan dek jadual yang padat Februari hingga April nanti?

Itu adalah persoalan di masa depan yang harus kita anggap masih tiada kepentingan untuk hari ini. Kerana hari ini adalah hari untuk kita beratur membeli tiket, masuk ke teater dan membina imaginasi sembari mendengarkan simfoni yang asyik nukilan Inter dan Inzaghi.