Tidak sukar menggambarkan bentuk tekanan yang ditanggung pengurus Chelsea, Antonio Conte, akhir-akhir ini.

Satu musim yang sukar buat The Blues selaku juara bertahan menyaksikan mereka tewas kepada Burnley dalam perlawanan pembukaan musim selain dua lagi kekalahan kepada Manchester City dan Crystal Palace kemudian, untuk mereka mengisi tangga keempat.

Jelas sekali ia berlawanan dengan peringkat ini pada musim lalu apabila Chelsea mengharungi rentetan 13 kemenangan berturut-turut yang melonjakkan mereka ke singgahsana liga dan kesudahannya dinobatkan juara.

Kunjungan ke Bournemouth malam ini adalah permulaan satu lagi tempoh mencabar buat The Blues, yang akan berdepan Roma dalam Liga Juara-Juara, Selasa ini, dan melayani kunjungan Manchester United pada 5 November depan.

Tetapi Conte sudah pun menyatakan pada awal musim lalu lagi, apabila Chelsea bergelut di bawah pengurusannya, bahawa ia adalah waktu yang mencabar dalam kariernya di England tatkala dia mewarisi sebuah pasukan yang berkedudukan di tangga ke-10 pada musim sebelumnya.

Penawar buatnya ketika itu ialah kepercayaan bahawa tugasnya selaku pengurus pasukan kebangsaan Itali adalah pengalaman yang jauh lebih sukar daripada apa yang dialaminya di Chelsea.

“Saya bukannya seorang ahli sihir,” katanya apabila ditanya sama ada Chelsea mampu mengulangi prestasi cemerlang seperti musim lalu.

“Sangat sukar untuk saya meramalkan satu rentetan seperti musim lalu. Ia sangat sukar untuk memenangi 13 perlawanan berturut-turut dalam liga yang mencabar ini,” tambahnya seperti dipetik oleh akhbar UK, The Telegraph.

Chelsea masih dinafikan khidmat Victor Moses dan N’Golo Kante yang cedera untuk kunjungan mereka ke Bournemouth manakala pembelian baru, Danny Drinkwater, yang turun beraksi ketika mengalahkan Everton dalam Piala Liga, Rabu lalu, masih bergelut dengan kecederaan betis.

Sekadar memburukkan lagi keadaan, pengurus berbangsa Itali itu tambah tertekan akhir-akhir ini dengan kekalahan berturut-turut kepada Palace dan City sebelum terikat seri dengan Roma dalam Liga Juara-Juara.

Lantaran itu juga, terbit laporan kononnya bekas pengurus, Carlo Ancelotti, sedang dipertimbangkan untuk mengambil alih daripada Conte di Stamford Bridge, dengan eksekutif-eksekutif kelab dikatakan meragui dia akan menghabiskan baki kontrak 20 bulannya.

Namun, bukan segala-galanya suram buat pengurus The Blues itu.

Terbaru, Chelsea dikhabarkan akan memburu penyerang Lazio, Ciro Immobile, ketika jendela perpindahan Januari nanti untuk meredakan keresahan Conte – yang berang gara-gara kegagalan kelabnya mendapatkan Romelu Lukaku, Alex Oxlade-Chamberlain, Fernando Llorente dan Alex Sandro pada musim panas lalu.

Sebaliknya, hanya Alvaro Morata dibawa masuk tetapi Chelsea kembali bergelut gara-gara kecederaan penyerang antarabangsa Sepanyol itu sejak beberapa minggu kebelakangan.

Kedatangan Immobile – jika menjadi menjadi kenyataan – harus akan menjadi penyejuk hati Conte, yang masih bersikap dingin dengan lembaga pengarah kelab sejak musim panas lalu yang ketika itu menimbulkan desas-desus dia mungkin angkat kaki sebelum waktunya.