Chelsea digembar-gemburkan sedang bergolak. Dan ia diuar-uarkan berkisar kepada pengurus kontroversialnya, Antonio Conte.

Antara lain, masa depan pengurus berbangsa Itali itu di Stamford Bridge dilaporkan sebagai tidak menentu.

Kononnya juga pemain-pemainnya mengadu kepada bekas penolongnya, Steve Holland – kini bersama Gareth Southgate mengendalikan pasukan kebangsaan England – yang mereka sudah tidak tertahan dengan kaedah latihannya yang “menyeksakan”.

Conte, yang sebelumnya mengumumkan dia tidak pernah berasa gentar untuk dipecat dan langsung tidak terlintas dengan kemungkinan itu ketika ini, bertambah berang dengan gembar-gembur kononnya lembaga pengarah kelab sedang mengikhtiarkan Carlo Ancelotti selaku penggantinya.

Masih berbaki 20 bulan dalam kontraknya, Conte menepis semua perkhabaran negatif yang melingkari dirinya sebagai “amat mengarut”.

“Di sekitar sini, terdapat banyak benda-benda yang mengarut,” katanya sebagaimana dipetik akhbar The Independent. “Jika saya melihat kepada masa lalu, saya melihat perkara yang sama berlaku kepada pengurus-pengurus lain.

“Mereka cuba mencetuskan masalah di antara saya dan pemain-pemain. Jika ada seseorang yang gembira untuk terus menulis mengenai perkara-perkara ini, saya menjawabnya dengan baik pada masa lalu, dan saya akan terus menjawab dengan baik mengenai pelbagai isu ini.

“Ia menunjukkan kurangnya rasa hormat (kepada saya),” kata Conte yang bertegas bahawa pihak media sedang cuba melaga-lagakannya dengan kelabnya dan pemain-pemainnya.

Chelsea baru menamatkan rentetan tiga perlawanan tanpa kemenangan dengan mengalahkan Watford 4-2, Sabtu lalu.

Ini disusuli oleh kemenangan 2-1 The Blues ke atas Everton dalam jadual Piala Carabao di Stamford Bridge, Rabu lalu.

Namun, di dalam liga, kempen Chelsea untuk mempertahankan kejuaraan tampak terjejas dengan ketinggalan sembilan mata di belakang pendahulu, Manchester City – satu kedudukan yang disifatkan oleh pengurus Chelsea itu sebagai “sesuatu yang tidak betul”.

Conte sedia mengakui bahawa pasukannya sedang mengharungi satu permulaan yang sukar gara-gara deretan kecederaan ke atas pemain tonggak seperti Eden Hazard dan N'Golo Kante.

“Kami harus berusaha mengatasi tempoh ini kerana jangan lupa dari awal musim ini lagi, kami berdepan dengan pelbagai masalah.

“Permulaan kami musim ini kurang bertuah beralaskan pelbagai sebab tapi kami sedang melaluinya dengan baik dan kami meraih mata-mata yang kami berhak mendapatnya di samping kami juga beraksi baik dalam Liga Juara-Juara.

“Kami sedang melakukan satu kerja yang besar,” hujahnya.

(Bersambung)