Aksi pembukaan Kumpulan G kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023 di Stadium Gelora Bong Karno pastinya mengimbau sejarah pada 2010 apabila skuad negara terpaksa menaiki Barracuda bagi mengelak asakan para penyokong fanatik pasukan Indonesia.

Pada waktu itu, Tan Cheng Hoe merupakan penolong jurulatih kepada Datuk K. Rajagobal yang menyaksikan Malaysia muncul juara Piala AFF 2010. Esok malam, Tan Cheng Hoe akan sekali lagi berada di tepi padang selaku ketua jurulatih yang membimbing pasukan kebangsaan.

Justeru itu, TCH menegaskan skuad kebangsaan harus memiliki mental yang kuat bagi menghadapi serangan psikologi yang akan dilancarkan pasukan lawan. Malah, penyokong “Sang Garuda” juga sudah tentu akan melakukan provokasi bagi melemahkan mental Harimau Malaya. Jurulatih baru Indonesia, Simon Mcmenemy, hanya melakukan dua perlawanan persahabatan secara tertutup yang secara tidak langsung menghadirkan rasa gusar skuad negara kerana tidak mengetahui kekuatan pasukan Garuda itu.

Di saat Malaysia menerima perkhabaran gembira kerana kembalinya Mohamadou Sumareh, yang telah pulih dari kecederaan, difahamkan skuad Indonesia turut diperkuatkan lima tonggak naturalisasi yang tidak diketahui kemampuannya. Misteri kekuatan Indonesia, bagaimanapun, tidak dipedulikan TCH yang mahu pemainnya terus kekal fokus biarpun berdepan lawan yang tidak diketahui kekuatannya.

TCH tetap menghormati cara pasukan Indonesia kerana beliau percaya setiap jurulatih pasti mempunyai cara yang tersendiri. Apa yang lebih penting ialah persediaan pasukannya dan dalam masa sama aspek keselamatan mesti dititikberatkan.

Terdahulu, Harimau Malaya memilih Jordan sebagai perlawanan pemanas badan yang menyaksikan Malaysia tewas 1-0. Biarpun tewas, banyak perkembangan positif dapat dilihat sewaktu menentang pasukan di tangga ke-99 ranking dunia itu. Apatah lagi Malaysia akan berdepan pasukan UAE dalam aksi kedua nanti.