Bolehkah Malaysia menjuarai Pusingan Kedua Liga Dunia di Dhaka, Bangladesh tanpa pemain utama?

Itu persoalan dilontarkan peminat apabila skuad kendalian Stephen van Huizen berangkat ke Dhaka tanpa penjaga gol utama, S Kumar, penyerang, Faizal Saari, Mohd Haziq Shamsul dan Firhan Ashaari.

Jika melihat kepada lawan, Malaysia sepatutnya tiada masalah untuk muncul juara.

Namun perlu diingatkan, pemain negara baru tamat menyertai Liga Hoki Malaysia. Jadi, mungkin mereka kepenatan selepas melalui jadual padat sejak Januari lalu.

Malah, ada dikalangan mereka mengalami kecederaan ringan.

Pada kebiasaannya, jurulatih boleh beri alasan ketiadaan pemain utama menyebabkan mereka gagal capai sasaran. Namun di Dhaka, Stephen tidak mempunyai pilihan selain perlu mara ke Separuh Akhir Liga Dunia.

Bagi capai misi itu, The Malaysian Hockey Tigers perlu sekurang-kurangnya menamatkan cabaran di tangga ketiga terbaik.

"Saya yakin mereka akan muncul juara. Cuma persoalannya, mampukah mereka membelasah lawan seperti yang dilakukan ketika Pusingan Kedua Liga Dunia 2015 di Singapura?" kata rakan wartawan yang turut buat liputan di Dhaka.

Benar, saya masih ingat bagaimana Malaysia mengganas di Singapura.

Mereka membelasah setiap pasukan sejak peringkat kumpulan termasuk tuan rumah, 16-1.

Malaysia kemudian muncul juara dengan membelasah Poland, 8-1 di final sekali gus mengumpul 47 gol secara keseluruhan - purata hampir 8 gol dalam setiap perlawanan!

Jadi untuk mengatakan Malaysia akan gagal di Dhaka tanpa pemain utama, anda perlu berfikir dua kali.

Pemain muda seperti Ramadan Rosli, Shahril Saabah, Najmi Farizal Jazlan, Nik Mohd Aiman Nik Rozemi hingga penjaga gol, Mohd Hafizuddin Othman memiliki cukup pengalaman peringkat antarabangsa.

Mereka pernah bergelar juara remaja Asia, mencabar Piala Dunia Remaja atau sekurang-kurangnya memiliki lebih 10 kap bersama skuad kebangsaan - itu sudah cukup untuk muncul juara di Dhaka.

Mujur, pemain-pemain ini sentiasa berada dalam Skuad Pembangunan kendalian Wallace Tan, program diilhamkan Pengarah Teknikal, Terry Walsh untuk memastikan skuad kebangsaan tidak ketandusan bakat jika masalah seperti ini berlaku.

Buat 18 pemain negara di Dhaka, anda perlu gunakan peluang ini untuk membuktikan kemampuan sebenar dan merampas posisi utama sebelum empunya posisi datang kembali.

Tetapi apa yang paling penting, Malaysia perlu layak ke Separuh Akhir Liga Dunia dan untuk tempoh 10 hari ini, kita akan cuba menggegar Dhaka!