Usain Bolt dijulang sebagai legenda.

Sekadar merangkul pingat gangsa acara 100 meter di kejohanan dunia terakhirnya tidak membantutkan kemeriahan di Stadium London mahupun untuk peminat di seluruh pelusuk dunia meraikan karier menakjubkan yang dicatat oleh atlet kesayangan mereka.

Justin Gatlin pemenang pingat emas dengan catatan 9.92 saat meninggalkan rakan senegara dari Amerika Syarikat Christian Coleman seorang pelari muda 21 tahun yang mencatat 9.94 saat, satu saat lebih pantas dari Usain Bolt.

Kebiasaannya pemenang pingat emas akan diraikan namun kali ini tumpuan para peminat di stadium hanya kepada Bolt.

Jika tidak keterlaluan untuk mengatakan Gatlin dianak tirikan tambahan pula cemuhan oleh para peminat yang kurang senang dengan rekod buruk atlet berusia 35 tahun ini yang pernah gagal ujian doping sebanyak 2 kali dalam kariernya.

Apapun 11 pingat emas kejohanan dunia dan 8 pingat emas Olimpik meletakkan Bolt setaraf legenda tinju, Muhammad Ali.

Pengiktirafan yang diberi oleh pengkritik sukan dan para peminat itu menyimpulkan karier luar biasa atlet 30 tahun yang dilahirkan di Sherwood Content, Jamaica.

Bolt masih memegang status sebagai manusia terpantas di dunia dengan rekod 100 meter 9.58 saat yang dicatat di kejohanan dunia 2009 Berlin.

Pelari pecut yang dikenali sebagai ‘Lightning Bolt’ ini juga memegang rekod dunia acara 200 meter sepantas 19.19 saat.

Namun keputusan yang dilakar di London tidaklah mengejutkan kerana Bolt menunjukkan dia sudah melakukan sebaik yang mungkin dalam kariernya setelah hanya mencatat keputusan larian acara 100 meter kurang dari 10 saat sekali sahaja dalam kejohanan musim ini.

Tidak sama seperti Bolt yang lalu.

Ada kemungkinan pingat gangsa kali ini memberi kepastian kepada Bolt bahawa keputusan untuk bersara adalah keputusan yang tepat.

Kegagalan mempertahankan pingat emas 100 meternya merupakan petunjuk bahawa dia perlu meninggalkan dunia olahraga dan menumpukan perhatian kepada karier baharu yang menanti.

Realiti kehidupan.

Di mana ada permulaan, di situ juga ada pengakhiran.

Apa yang pasti para peminat Bolt akan merindui gelagat dan auranya di stadium.

Usain Bolt legenda sukan dunia.