Ketiadaan beberapa tongak utama seperti Syafiq Ahmad dan Matthew Davies yang digantung satu perlawanan tidak memberi kesan kepada Harimau Malaya, malah pemain yang diturunkan seperti Syahmi Safari juga menunjukan aksi yang konsisten.

Walaupun dua puluh minit pertama Harimau Malaya agak sukar untuk menyesuaikan dengan keadaan padang yang sedikit licin dan berat, namun merka masih lagi boleh melakukan tekanan melalui Mohamadou Sumareh yang bertindak sebagai penyerang.

Dengan sorakan padu penyokong Harimau Malaya yang membanjiri Stadium Nasional, Bukit Jalil memberi suntikan kekuatan kepada Harimau Malaya kendalian Tan Cheng Hoe.

Akhirnya, pada minit ke-30 Safawi Rasid membuka jaringan pertama Malaysia melalui sepakan percuma lencong yang memukau penjaga gol Indonesia, Muhammad Ridho.

Penguasaan bahagian tengah, yang diketuai Brendan Gan dengan baik dalam babak kedua, terus memberikan kelebihan kepada Malaysia untuk mendominasi perlawanan.

Walaupun Indonesia bermain secara bertahan, ia tidak mengganggu kelancaran corak serangan Malaysia.

Kekentalan bahagian pertahanan Malaysia serta komunikasi baik yang dipamerkan oleh Corbin Ong, Shahrul Saad, Aidil Zafuan dan Syahmi berjaya mengekang serangan pantas Indonesia.

Dalam kegairahan Indonesia melakukan serangan untuk mencari gol penyamaan, ia akhirnya memakan diri apabila Safawi sekali lagi berjaya menjaringkan gol kedua Malaysia melalui satu rembatan padu dari sudut sukar setelah beliau berjaya memenangi bola dalam kawasan penalti Indonesia selepas pemain pertahanannya melakukan kesilapan.

Bergema terus sorakan di Bukit Jalil ibarat dentuman petir menyambar selepas jaringan Safawi itu dan melenyapkan suara-suara sumbang penyokong garuda.

Kemenangan ini penuh bermakna kepada rakyat Malaysia selepas Garuda diganyang Harimau Malaya.