Azizulhasni Awang mungkin kini berdiri megah sebagai pemenang pingat acara berbasikal pertama Malaysia dalam sejarah Sukan Olimpik tetapi kejayaan itu harus bukan miliknya jika tidak kerana dua penganalisis data British Cycling (BC) dan campur tangan Team Great Britain.

Dalam saya tercari-cari untuk membaca sebanyak mungkin kisah kejayaan The Pocket Rocketman dalam acara keirin itu bagi memuncakkan lagi rasa bangga saya terhadapnya, saya terjumpa satu laporan dalam laman web akhbar TheTelegraph, United Kingdom.

Namun, sebelum saya disalahertikan, kerana saya tiada langsung niat mempersoalkan kejayaan Azizulhasni – malah saya, seperti anda semua, teramat-amat bangga dengannya -- biarlah saya jelaskan bahawa paparan ini sekadar untuk berkongsi apa yang mungkin berlaku sebaliknya.

Malah, Azizulhasni mungkin turut menumpang tuah pemenang pingat emas acara itu, Jason Kenny, dari Team Great Britain.

Satu laporan eksklusif The Telegraph mendedahkan, rakaman video oleh dua penganalisis data BC itu, Will Forbes dan Dr Debs Sides, yang menyelamatkan Kenny dan Azizulhasni untuk berhak ke atas pingat masing-masing.

Kebetulan, Forbes dan Dr Sides berada di galeri penonton apabila pistol dibunyikan sebagai menandakan pembatalan perlumbaan kali pertama sambil motorsikal ‘derny’ keluar dari trek untuk dua pusingan terakhir.

Peraturan 3.2.140 Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) menyatakan “apabila satu atau lebih pelumba melepasi roda belakang motorsikal pendahulu sebelum ia meninggalkan trek, perlumbaan akan diberhentikan dan dimulakan semula tanpa peserta yang melakukan kesalahan itu, yang akan dibatalkan penyertaan.

Dalam pembatalan kali pertama perlumbaan, ia kelihatan seperti Kenny dan Azizulhasni mungkin dipersalahkan dan dibatalkan penyertaan.

Menurut laporan The Telegraph, ketua jurulatih Great Britain, Iain Dyer, serta-merta menyerbu kepada komisar perlumbaan untuk menuntut ulang tayang video apa yang sebenarnya berlaku.

Apa yang didapatinya ialah pihak komisar tidak mempunyai kamera sisi untuk membuktikan kedua-dua Kenny dan Azizulhasni telah melakukan kesalahan.

“Lazimnya, jika tembakan pistol dilepaskan dan perlumbaan diberhentikan, akan ada pelumba yang dibatalkan,” kata Dyer. “Saya menonton video kami (yang diberi penganalisis data British Cycling) dan ia kelihatan amat amat rapat. Tapi ia tidak jelas.”

“Jadi, saya menuntut komisar menunjukkan kepada saya rakaman video mereka dan mereka menunjukkan rakaman kamera (hanya) dari depan.

“Penganilisis prestasi kami, Will (Forbes) and Debs (Sides) berada di galeri penonton, dan membuat rakaman video, bersetentang dengan garis kejar-mengejar berpasukan.”

Dyer menunjukkan kepada komisar, Alex Donike dari Jerman, rakaman video British Cycling itu yang tidak jelas untuk Kenny dibatalkan penyertaan.

“Disebabkan tiada kamera di garis kesalahan didakwa berlaku, memang wujud keraguan.

"Komisar tiada bukti video jelas untuk membatalkan sesiapa,” kata Dyer.

Terselamatnya Kenny, terselamat jugalah Azizulhasni daripada dibatalkan penyertaan.

Agak memeranjatkan, perlumbaan yang dimulakan semula, turut dibatalkan sekali lagi, kali ini pelumba Jerman, Joachim Eilers, yang kelihatan memintas roda belakang motorsikal ‘derny’.

Sekali lagi, dia terselamat oleh rakaman video oleh Forbes and Sides, untuk mengelak dia dibatalkan penyertaan.

Namun, ada yang tidak berpuas hati.

Pelumba Poland, Damian Zielinski, yang menduduki tempat keenam, berkata ia adalah “sangat jelas” bahawa Kenny dan Azizulhasni telah memintas motorsikal ‘derny’ lebih awal.

“Penganjur enggan mengambil balik pingat-pingat daripada pemenang,” katanya kepada The Telegraph. “Saya fikir biasanya kedua-duanya akan dibatalkan tapi anda tidak boleh membantah keputusan juri-juri (perlumbaan).”

Kenny pula berkata: “Saya tidak pun memikirkan apa-apa. Baiklah, saya ada memikirkan mengenai temubual jika saya dibatalkan penyertaan. Saya harus akan mengatakan ‘peraturan tetap peraturan’.”

Semua itu, bagaimanapun, saya anggap sebagai perencah cerita kejayaan sedangkan keputusan rasmi acara keirin Sukan Olimpik Rio memaparkan seperti berikut: 1. Jason Kenny GBR 10.113 saat; 2. Matthijs Buchli NED +0.040; 3. Azizulhasni Awang MAS +0.085s.

Tiada apa-apa yang harus membuat keputusan itu dipertikaikan, apatah lagi ia sudah disahkan juri dan komisar perlumbaan.

Tahniah, Azizulhasni Awang! Anda sebenar-benarnya kebanggaan Malaysia.

Harus pingat gangsanya dirasakan bernilai emas.