Di sebalik bakal hadir ke Stadium Nasional, Bukit Jalil dengan reputasi sebuah pasukan yang lebih digeruni pada malam esok, Thailand tidak dapat berselindung daripada kritikan di tanah airnya sendiri.

Dengan 15 gol terhasil sementara bahagian benteng memperagakan prestasi ampuh dengan hanya melepaskan tiga gol dalam empat perlawanan, ia sudah cukup untuk membuatkan Malaysia menyedari tugas sulit yang bakal dihadapi.

Dicanang selaku pasukan pilihan dalam Piala Suzuki AFF 2018 untuk mengekalkan kejuaraan buat kali ketiga berturut-turut, ia bukanlah jaminan kem Gajah Perang untuk menerima sambutan hangat.

Pendekatan pengendalinya, Milovan Rajevac, yang dilantik tahun lalu mendapat reaksi negatif daripada peminat sendiri.

Mereka menganggap permainan yang cuba diterapkan bekas jurulatih Ghana itu membosankan, barangkali kerana Thailand lebih gemar membina serangan dari bahagian bawah.

Bagaimanapun, resipi utama kejayaannya adalah kejituan kombinasi antara anak buahnya.

Tonggak tengahnya, Sanrawat Dechmitr, akur dengan tuntutan Rajevac meskipun pada mulanya turut tidak sehaluan dengan gaya tersebut.

Sanrawat, yang telah membuat empat umpanan yang menghasilkan gol serta terlibat dalam 220 hantaran, sedar tujuan utama Rajavec demi menampung kelemahan di posisi yang disifatkan ketara.

Dalam masa yang sama, Malaysia harus menjadikan pertemuan dengan Vietnam di peringkat kumpulan yang lalu sebagai pengajaran terbaik.

Dijinakkan 0-2 di Bandaraya Ho Chi Minh, anak buah Tan Cheng Hoe itu terpaksa menelan keperitan kekalahan meskipun menguasai lebih 60 peratus permainan.

Gol Vietnam terhasil daripada dua peluang dengan tuan rumah mempamerkan aksi tersusun.

Ia memberi isyarat supaya skuad Malaysia perlu lebih berwaspada dan tidak leka semasa bertahan, khususnya serangan balas yang bakal dikepalai Adisak Kraison.

Dibantu oleh aura ekor Harimau Malaya, tidak mustahil reputasi Gajah Perang boleh dicalarkan.