Penganjur Tour de Iskandar Johor 2019 berdepan tekanan hebat ketika ini.

Sudahlah belum membayar wang hadiah kemenangan kepada pasukan bertanding berjumlah RM66,604 malah 'diburu' kontraktor yang sudah melaksanakan tugas mereka.

Berdasarkan peraturan Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI), penganjur perlumbaan perlu melunaskan bayaran dalam tempoh 90 hari selepas tamat kejohanan.

Tetapi dalam kes ini, penganjur Tour de Iskandar Johor sudah lewat 11 bulan!

Saya menghubungi salah seorang pegawai utama syarikat yang dilantik sebagai penganjur.

"Banyak pihak sudah menghubungi saya, perkara ini saya akan cuba selesaikan. Saya sudah menggunakan wang sendiri sebanyak RM500,000 untuk membayar kontraktor perlumbaan tapi masih belum memadai".

"Saya tidak akan lari daripada hutang ini. Malah, saya sedang berusaha untuk menjual tanah pusaka untuk melangsaikan baki lebih RM200,000 lagi," katanya.

Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) pernah mengumumkan syarat kepada penganjur bahawa mereka perlu meletakkan deposit wang hadiah kemenangan kepada badan induk itu sebagai jaminan.

Namun, langkah itu belum berhasil.

Dalam soal ini, siapa yang perlu bertanggungjawab?

Pasukan sudah berkayuh dan menang, kontraktor sudah mengeluarkan kos tetapi penganjur tidak mendapat dana yang cukup daripada kerajaan untuk membayar semua kos.

Saya fikir, lebih baik ukur baju di badan sendiri.