Sejak hari pertama perkenalan dengan Muhd Habibullah Saleh atau nama ‘glamour’ nya Gabit, satu perkara yang akan terlintas di kepala saya bila namanya di sebut ialah, petah berbicara.

Ketika ditemubual beberapa hari sebelum beliau beraksi untuk Pusingan ke 4 Kejohanan Supermoto FIM ASIA 2016 yang merupakan pusingan terakhir untuk edisi ini, Gabit memberitahu beliau tidak begitu yakin dengan kemampuannya di trek yang ketika itu sedang di bina di perkarangan Stadium Shah Alam.

Timbulnya kegusaran tersebut adalah kerana beliau yang berasal dari sukan ‘motorcross’, dan lebih menggemari trek tanah berbanding dengan tar. Namun, difahamkan bahawa trek yang bakal dihadapinya itu lebih kepada trek tar.

Setelah melalui tiga pusingan sebelumnya yang bertempat di Australia,Indonesia dan Filipina, Gabit telah mengumpul sebanyak pengalaman yang mungkin di samping meletakkan dirinya di kedudukan teratas berbanding 21 pelumba yang lain.

Mempunyai seorang abang yang juga merupakan seorang pelumba motor yang masih bergiat aktif, Mohd Al-Amirul Ashshahid, yang juga lebih dikenali sebagai Gaban. Gabit sebagai adik sudah pasti tidak terlepas dengan perbandingan dengan abangnya, sehinggakan nama Gabit itu juga dikatakan timbul ekoran nama panggilan abangnya. Bermula dengan Habib, dan seterusnya terbit nama baru yang berterusan membawa tuah dan kini sebagai Gabit. Namun beliau sering meletakkan abangnya selaku pembakar semangat malahan daripada abangnya itulah timbul minat Gabit kepada sukan permotoran.

Terkini, Gabit telah mengharumkan nama negara apabila menjulang dua trofi kejuaraan bagi kategori Kelas Asia dan Terbuka Antarabangsa dalam Kejohanan Supermoto FIM Asia 2016. Gabit mengumpul mata tertinggi dengan 171 mata, meninggalkan pelumba Australia Andrew Mc Liesh 138 mata, dan Mohd Khairi Zakaria dengan 123 mata.

Perkara paling menyentuh hati di saat kejayaan Gabit itu apabila sedang dalam meraikan kemenangan beliau tempoh hari, muncul sosok tubuh seorang lelaki yang menerpa lantas memeluk tubuh anak muda ini, tidak lain tidak bukan, ialah ayahnya sendiri. Dengan deraian airmata gembira Gabit dilihat berterima kasih kepada ayahnya yang dikatakan baru pertama kali turun menyaksikan perlumbaan yang disertainya.

Bila ditanya tentang sebarang kecederaan atau halangan sejak Pusingan Pertama, Gabit memberitahu ketika perlumbaan beliau hampir pernah hilang kawalan akibat ‘break’ patah, gear bengkok, dan kecederaan di kaki akibat bergesel dengan tayar penghadang. Walaubagaimanapun, jiwa anak muda berusia 25 tahun ini tidak mudah di sesah. Beliau dapat mengawal situasi dan dalam masa yang sama mahu menyudahkan perjuangan. Orang melayu kata “hati ngang”.

Dengan kejayaan berganda ini, Gabit telah membuka satu lagi lembaran baru sejarah sukan permotoran dan mengangkat nama Malaysia di pentas dunia. Apakah Gabit akan beraksi dalam kejuaraan yang lebih tinggi? Kejohanan Eropah misalnya? Bersempena dengan pembukaan tirai 2017 yang akan menjelma tidak lama lagi, mungkin ini boleh dijadikan misi dan resolusi seorang Gabit. Apapun saya ucapkan moga Gabit terus menyinar di mata dunia, dan terus menjadi 'no. 27' yang terbaik.Tabik Gabit!