Setiap kali perlawanan melibatkan Manchester City, Manchester United, Liverpool, Tottenham Hotspur dan Leicester City, kebiasaannya kesemua pasukan ini mempunyai kelebihan jika peluang dinilai hanya melalui nama dimiliki di atas kertas. Namun, hakikat itu disanggah oleh seorang individu yang bernama David Moyes.

Bagi musim 2021-22, kelima-lima pasukan di atas telah pun ditundukkan West Ham United kendalian pengurus dari Scotland itu. Jika musim lalu kelibat Thomas Soucek menjadi taruhan utama, kini beberapa nama jelas mencuri tumpuan seperti Michail Antonio – yang telah meledakkan enam gol di pentas Liga Perdana Inggeris (EPL) – serta tonggak tengah, Declan Rice.



Walaupun dikaitkan dengan berita ingin meninggalkan The Hammers pada awal musim ini, Rice ternyata cemerlang apabila tampil hebat dalam setiap minit permainan, tenang mengawal jentera tengah terutama sewaktu Moyes memerlukan satu watak yang berupaya menentukan tempo kepantasan persembahan anak buahnya.

Namun, sewaktu West Ham menamatkan rekod 25 perlawanan tanpa kalah Jurgen Klopp dan anak buahnya, awal pagi kelmarin, Moyes membuktikan dia mempunyai satu lagi nama yang boleh dijadikan senjata rahsia untuk menghadapi saingan musim ini, iaitu Pablo Fornals.

Pertemuan di Stadium London itu menyaksikan Moyes sedar bahawa ancaman terbesar lawan bakal datang dari sebelah kanan, di mana Trent Alexander-Arnold dan Mohamed Salah hadir dengan prestasi terbaik, menjadi nadi utama dalam kemenangan 2-0 ke atas Atletico Madrid bagi saingan Liga Juara-Juara Eropah, minggu lalu.

Aaron Cresswell dan Said Benrahma perlu bekerja lebih keras sekiranya mahu memastikan dua bintang The Reds itu dapat dikekang, membuatkan Moyes bertindak mengerah kudrat Fornals untuk lebih banyak berlegar di bahagian kiri pasukan walaupun bermula dengan posisi selaku penyerang kedua di belakang Michail Antonio, membantu dua rakan sepasukannya ketika bertahan serta perlu lebih cepat apabila melancarkan serangan balas.

Tekanan tinggi yang dilakukan Fornals sepanjang perlawanan jelas memberi kesan besar, terutama mengehadkan pilihan yang diraih Jordan Henderson dan Fabinho untuk melakukan hantaran sambil memudahkan tugas Rice serta Soucek melakukan pintasan. Tidak hairan jika Rice kini berada dalam senarai tiga pemain terbaik dalam melakukan pintasan dan bentesan dalam saingan EPL, musim ini.



Kebijaksanaan Moyes dalam menggunakan sepenuhnya keupayaan yang dimiliki Fornals – yang memasuki musim kedua di England – serta pemain lain wajar dipuji. Tiga mata di belakang pendahulu, Chelsea dan berkongsi 20 mata dengan Manchester City dalam carta EPL serta mengungguli tangga teratas peringkat kumpulan saingan Liga Europa, pengurus berusia 58 tahun itu tentunya mahu mengekalkan konsisten dan merebut tiket Liga Juara-Juara Eropah, musim depan.

Apa yang menjadi persoalan, mampukah Moyes dan anak buahnya bertahan sehingga ke akhir musim?