Bekas Juara Universal dan NXT Finn Balor mengakui yang dirinya berhajat untuk kembali semula ke roster utama WWE setelah hampir dua tahun meninggalkan jenama Raw dan Smackdown.

Menurut bintang berusia 39 tahun itu dalam satu temubual bersama Fox Sport baru-baru ini, karakter yang dibawanya di NXT ketika ini adalah begitu dekat dan mirip dengan personaliti dirinya yang sebenar. Berbeza dengan karakter yang dibawanya sebelum ini yang memerlukannya menjadi orang lain ketika beraksi.

"Dalam usaha membuatkan pihak lain gembira, saya berusaha sehabis baik untuk membawakan apa sahaja peranan. Tapi lama kelamaan ia membuatkan saya sedikit hilang fokus dan tercari-cari hala tuju karakter yang saya bawa," ujar bintang kelahiran Ireland ini.

Selepas tewas kepada The Fiend di acara Summerslam 2019, bekas Juara Universal pertama ini telah direhatkan sebentar selama dua bulan dan ketika inilah pihak NXT menawarkan dirinya untuk kembali semula ke jenama kuning emas itu untuk jangka masa yang singkat, dalam usaha untuk merancakkan lagi jenama ketiga WWE itu.


"Hey Finn, kami tahu awak cuba nak fokus kembali dan mengumpul semula kekuatan. Apa kata balik sekejap ke NXT. Tak kisahlah tiga bulan ke, enam bulan ke. Dah rasa ok nanti baliklah semula ke Raw atau Smackdown."

Akhirnya tiga bulan menjadi enam bulan. Enam bulan menjadi setahun. Dan siap menjadi Juara NXT semula. Dan ia menjadi satu pengalaman serta ilmu berharga buat pemilik nama Fergal Devitt ini.
"Saya rasa saya dah temui rentak saya semula. Dan saya rasa dah bersedia untuk kembali semula memberikan saingan di Raw atau Smackdown tak lama lagi," tambahnya.


Tidak dapat dinafikan, sejak menyertai jenama Raw pada 2016, kerjaya Finn Balor di roster utama WWE itu dilihat agak tidak konsisten dan sering turun naik. Sebagai seorang bintang sensasi antarabangsa yang telah mencipta banyak kejayaan di arena gusti seluruh dunia dan pernah bergelar Juara Junior Heavyweight IWGP sebanyak tiga kali di New Japan Pro Wrestling, sepatutnya Balor mampu diletakkan sebaris dengan nama-nama besar lain seperti Seth Rollins, Roman Reigns, Bobby Lashley, Drew McIntyre dan lain-lain.

Ibarat terkena badi sumpahan bintang NXT yang menyertai roster utama, Balor hanya mampu bergelar Juara Universal untuk sehari sahaja di acara WWE Summerslam 2016 dan terpaksa melepaskannya semula keesokan harinya akibat dihimpit dengan masalah kecederaan bahu yang agak serius. Sejak itu, tidak banyak pencapaian yang dikecapinya di WWE dan boleh dianggap sebagai bintang gusti kelas pertengahan sahaja di syarikat tersebut. Tidak ada rezeki untuk merampas semula kejuaraan Universal yang direnggut daripadanya sebelum itu, Balor hanya diberi kesempatan untuk bergelar Juara Antara Benua dengan menumpaskan Bobby Lashley di acara Wrestlemania 35 pada tahun 2019.

Sekembalinya semula ke NXT pada penghujung 2019 lalu, Balor dilihat kembali relevan dan mula mendapat perhatian serius semula daripada NXT Universe yang selama ini merindukan kelibatnya di sana. Malah Balor juga dilihat selesa dan gembira kerana diberi peluang serta kebebasan untuk meneroka karakter dan personanya agar lebih terampil, seterusnya mengungguli persada kejuaraan utama yang menjadi rebutan di NXT.


Ditambah pula dengan pengalaman beraksi dengan bintang-bintang NXT hebat dan masih berdarah panas seperti Adam Cole, Johny Gargano, Kyle O’ Reilly, Pete Dunne, Damien Priest dan ramai lagi, ia sekaligus mencipta satu ruang baharu untuk Balor meningkatkan lagi keupayaan dirinya selajur bergelar jaguh terulung di WWE.

Untuk rekod, Finn Balor telah tewas secara bersih kepada Karion Kross di acara NXT semalam dalam usaha merebut semula kejuaraan NXT. Dalam perlawanan kemuncak yang amat sengit itu, Balor telah tersilap percaturan dan strategi apabila di saat akhir, dirinya telah terperangkap dalam kunci tidur oleh Karrion, memaksa pengadil menghentikan perlawanan setelah Balor terlena di alam mimpi.
Mungkinkah Demon King Balor akan muncul semula apabila WWE kembali menjelajah seluruh pelusuk negara dan dihadiri ribuan penonton bermula 17 Julai ini? Hanya masa yang akan menentukan.

(Foto: WWE.com)

Langgani satu-satunya saluran gusti 24 jam di Malaysia,WWENetwork. Saksikan acara WWE Hell In A Cell pada 21 Jun depan serta kesemua acaraWWEPay-Per-View secara langsung! Tidak lupa juga kepada program-program eksklusifWWENetwork, hanya di Astro, On Demand & Astro Go.