Empat pasukan berjaya menempah slot ke pentas separuh akhir Piala Malaysia 2016 selepas berjaya melepasi saingan kumpulan dan peringkat kalah mati hingga ke separuh akhir.

Kedah, PDRM, Selangor dan juga T-Team muncul empat pasukan terbaik pada saingan Piala Malaysia walaupun mereka bukanlah pasukan bertaraf Asia dan juga prestasi kurang memberangsangkan di saingan liga.

Siapa menyangka bahawa Kedah mampu mengetepikan cabaran Negeri Sembilan dengan jaringan besar 5–0 selepas sekadar seri tanpa jaringan pada suku akhir pertama.

Kesemua gol Lang Merah disumbangkan oleh pemain import mereka iaitu Shane Smeltz (2 gol), Thiago Augusto (2 gol) dan Liridon Krasniqi 1 gol.

Manakala lawan Kedah di separuh akhir nanti, pasukan PDRM berjaya menyingkirkan Kelantan biarpun tewas 0 -1 pada perlawanan suku akhir kedua.

Kedua -dua pasukan terikat dengan agregat 2-2 namun PDRM layak berdasarkan peraturan gol tempat lawan.

Paling mengejutkan ialah pasukan T-Team yang berjaya menamatkan perjalanan Felda United dalam saingan Piala Malaysia selepas jaringan Dilshod Sharofetdinov berjaya membawa skuad bimbingan Rahmad Darmawan mara ke separuh akhir dengan agregat 2 -1.

Manakala lawan mereka nanti, Selangor turut berjaya menumbangkan adik mereka pasukan PKNS dengan keputusan 1–0 hasil jaringan Nazmi Faiz sekaligus menyaksikan mereka menang dengan agregat 5 -3.

Dengan Kedah bakal melayani kunjungan pasukan PDRM dan Selangor bakal berdepan T-Team, adakah final Piala Malaysia 2015 bakal berulang atau akan ada finalis baru untuk musim 2016 ini?

Sama sama kita nantikan.