Sempena pertemuan Malaysia dan Indonesia dalam separuh akhir bola sepak Sukan SEA Ke-29 malam ini, eloklah kita melihat kembali bagaimana saingan perlawanan akhir di antara kedua-dua wakil negara tersebut dalam acara boling masters malam tadi.

Shalin Zulkifli dan Tannya Roumimper beraksi penuh sengit dalam perlawanan pertama sehingga mereka terikat 225-225 -- keputusan yang jarang-jarang berlaku dalam boling.

Saingan itu memaksa kedua-dua pemain bermain sebaik mungkin dengan menggunakan sepenuhnya pengalaman yang ada, teknik serta ketenangan sambil mengharapkan sedikit tuah, sekaligus menawarkan satu aksi yang sangat menghiburkan kepada penonton baik di Sunway Mega Lanes mahupun di depan televisyen.

Kedudukan seri itu membawa kepada perlawanan kedua untuk mencari perbezaan siapakah yang layak membawa pulang pingat emas masters wanita.

Shalin pada satu ketika ketinggalan agak jauh dengan kem Indonesia bersorak kerana Tannya sudah di ambang kejayaan emas, malah Haresh Deol -- yang sedang bersiaran langsung untuk Analisis Nadi Arena bersama Shaukei Kahar -- dengan penuh yakin mengulas sukar untuk Shalin mengejar kedudukan.

Tidak lama selepas itu, satu balingan daripada Tannya tidak dapat menjatuhkan kira-kira tiga atau empat pin untuk dia melakukan spare, dan selang beberapa balingan dia kemudian keciciran satu atau dua pin selepas melakukan spare.

Tempoh itu digunakan sebaik-baiknya oleh Shalin menerusi sebahagian besar strike berturut-turut dan spare sembilan mata.

Saat mendebarkan itu akhirnya ditamatkan dengan perbezaan satu pin (222-223) pada frame terakhir memihak kepada Shalin -- sudah cukup untuknya yang saya istilahkan sebagai telah "merampas emas".

Keputusan yang tidak dijangka itu lantas membuatkan Shalin tersujud, sebelum Tannya pergi ke arahnya untuk memeluk bagi menenangkan Shalin, juga sebagai tanda penghormatan kepada saingan sengit yang diberikan.

Ketika mereka berpelukan agak lama, pada saat itu juga Shalin tidak dapat menahan air matanya.

Menurut Shalin, ketika Tannya memeluknya, pemain Indonesia itu berbisik: "Tahniah, kamu bersaing dengan sungguh hebat. Kamu berhak memenangi perlawanan ini."

Cara ratu boling negara berkenaan meraikan kejayaan itu membuatkan saya tidak percaya ia adalah emasnya yang ke-20 dalam Sukan SEA, tetapi mungkin kerana beliau tidak menjangka berjaya mengharungi saat segetir itu atau tidak percaya mendapat tentangan sengit seperti itu.

Bukan sahaja penyokong tempatan, kem Indonesia yang hadir dalam perlawanan akhir itu turut bangun dan memberikan tepukan gemuruh bukan hanya kerana menyaksikan saingan dramatik tetapi melihat gelagat dua pesaing itu.

Sambil mengingati perlawanan bola sepak di antara Malaysia dan Indonesia di Shah Alam malam ini, bagaimana cara dua jaguh itu menerima kesudahan saingan harus dijadikan contoh terbaik, mengambil kira apa yang sering kita suarakan "sukan boleh mengeratkan hubungan".

Bagi saya, pertemuan di antara dua seteru baik negeri mahupun negara serantau, selain daripada bola sepak, banyak memberikan manfaat dalam membina hubungan yang lebih baik.

Justeru, kepada penyokong kedua-dua pasukan Malaysia-Indonesia malam ini, anda harus menyaksikan semula rakaman perlawanan di antara Shalin dan Tannya.

Tahniah Shalin-Tannya dan selamat berjuang untuk skuad bawah 22 tahun negara.