Juara Piala Dunia 2018, Belgium, bermula langkah kiri dalam saingan FIH Pro League minggu lepas apabila tewas 0-2 kepada Sepanyol selepas kedua-dua pasukan terikat 2-2 dalam 60 minit masa sebenar permainan.

Perlawanan di Estadio Betero, Valencia, di Sepanyol itu merupakan aksi pembukaan kepada penganjuran edisi pertama FIH Pro League yang menghimpunkan sembilan negara dalam kelompok 12 terbaik ranking dunia.

FIH Pro League ini dijadualkan berakhir pada 30 Jun depan dengan Stadium Wagener di Amstelveen, Belanda, dipilih sebagai venue separuh akhir dan grand final.

Menariknya, FIH Pro League ini merupakan salah satu pusingan kelayakan Sukan Olimpik 2020 di Tokyo, Jepun, kerana empat pasukan terbaik dalam kejohanan ini akan mendapat slot beraksi di peringkat kelayakan Sukan Olimpik terakhir tahun depan dengan perlawanan menggunakan format timbal balik.

Selain Belgium dan Sepanyol yang merupakan negara ranking pertama serta No.9 dunia, turut mengambil bahagian ialah Australia (No. 2), Argentina (No. 3), Belanda (No. 4), Jerman (No. 6), Great Britain (No. 7), New Zealand (No. 8) dan Pakistan (No. 12).

Pakistan ditawarkan tempat beraksi selepas gergasi No. 5 dunia, India, memilih untuk menarik diri daripada mengambil bahagian dalam edisi pertama FIH Pro League.

Format FIH Pro League ini juga dilihat memberi peluang yang sama rata kepada setiap pasukan kerana pemenang akan mendapat tiga mata dan tiada mata buat pasukan yang tewas.

Jika keputusan berakhir dengan seri dan terpaksa ditentukan melalui penalti shoot-out, pemenang akan mendapat dua mata dan satu mata buat pasukan yang kalah seperti Sepanyol yang kini meraih dua mata sementara satu mata buat Belgium.

Setiap pasukan bertanding perlu mempunyai dana kewangan besar kerana FIH Pro League menggunakan konsep yang memerlukan setiap pasukan beraksi lapan perlawanan di tempat sendiri dan lapan kali di tempat lawan.

Penarikan diri Pakistan untuk tidak bermain tiga perlawanan awal menentang Australia, Argentina dan New Zealand mengundang padah apabila FIH 'membuang' penyertaan negara itu daripada terus beraksi dalam FIH Pro League.

Ini bermakna edisi FIH Pro League kali ini cuma membabitkan lapan pasukan sahaja dan tiada mana-mana negara diambil menggantikan tempat Pakistan.

Kejohanan ini menghimpunkan barisan pemain ternama dunia yang pernah menjulang gelaran individu, antaranya Pemain Terbaik Dunia 2017 dan Piala Dunia 2018, Arthur van Doren, dari Belgium, Christopher Ruhr (Jerman), Eddie Ockenden (Australia) dan Gonzali Peillat (Argentina).

Perlawanan kedua FIH Pro League dijadualkan menemukan Sepanyol menentang New Zealand.