Ketika melalui pendakian kategori ketiga di Bukit Sumpitan, Perak, saya dapat bayangkan betapa sukar cabaran yang akan dihadapi pelumba tempatan.

Pendakian hanya setinggi 568m namun pelumba terpaksa mendaki sejauh 10km dengan laluan sempit.

"Masalah besar untuk pelumba Malaysia," kata rakan wartawan yang menemani saya memandu.

Benar, sebaik pendakian bermula, pelumba mula berpecah dengan kelompok break away diketuai pelumba Olivers Real Food Racing, Brendon Davids dari Australia.

Dia kemudian melintasi garisan penamat secara solo, bukti betapa jauh meninggalkan pencabar lain.

Dua minit kemudian, kedengaran sorakan penduduk di Dataran Kulim, Kedah.

Dari jauh kelibat pelumba Polis Diraja Malaysia (PDRM), Muhammad Fauzan Ahmad Lutfi melakukan henjutan terakhir sambil dicabar pelumba Team Sapura Cycling, Aiman Cahyadi.

Pengalaman berpihak Fauzan apabila melintasi garisan penamat selaku naib juara sekaligus membuktikan dia masih berbisa pada usia 31 tahun.



"Saya mengekori rapat Davids apabila dia cuba meloloskan diri daripada kelompok break away. Saya tahu, dia masih muda, masih mempunyai banyak tenaga.

"Saya menggunakan pengalaman dalam acara ujian masa untuk mengekalkan rentak kayuhan hingga ke garisan penamat. Rasa macam orang muda," katanya.

Sememangnya, dia pelumba tertua di kalangan pelumba tempatan namun memiliki semangat juang tinggi.

Contoh yang baik untuk pelumba muda negara.

Teruskan perjuangan, Jelajah Malaysia sepatutnya milik pelumba negara.