"Saya kecewa dengan PTAM. Dulu masa saya mahu menceburi arena profesional, seorangpun tidak mahu bantu saya walaupun pernah menghadiahkan pingat emas Sukan Sea.

"Orang kata saya anak emas PTAM, tapi realitinya saya tiada apa-apa. Hampir setahun saya mohon bantuan di PTAM dan KBS (Kementerian Belia dan Sukan), namun semuanya gagal," itu keluhan peninju profesional negara, Muhamad Farkhan Haron.

Kejayaan Farkhan memenangi tali pinggang cruiserweight Majlis Tinju Asia (WBC) di Singapura wajar buka mata PTAM.

Farkhan sudah memenangi dua tali pinggang kejuaraan sejak bergelar peninju profesional pada 2014, tapi dalam tempoh itu PTAM menang apa?

Sejak Sukan Sea Myanmar 2013, Malaysia gagal raih sebarang pingat emas.

Jangan katakan Sukan Sea, malah Sukan Komanwel dan Asia. Tinju juga gagal ke Sukan Olimpik Rio 2016.

Jadi, apa yang boleh PTAM banggakan walaupun menerima jutaan Ringgit daripada Majlis Sukan Negara sejak 2 tahun lalu?

"Saya harap PTAM mengubah mentaliti mereka. Negara lain seperti Thailand dan Filipina sudah jauh ke depan, kita masih di takuk lama. Masih lagi mengharapkan keajaiban berlaku untuk menang Sukan Sea, Komanwel dan Asia," kata Farkhan.

Saya bangga melihat perkembangan peninju kelahiran Johor ini.

Sejak mengikuti kariernya pada 2006 hingga menang emas Sukan Sea Laos 2009, suku akhir Sukan Asia Guangzhou 2010, bersara 2013, bergelar peninju profesional 2014, menang pertarungan pertama 2015, mendirikan rumah tangga dan menang pertarungan kedua tahun ini - saya lihat dia sudah mampu berdiri sendiri.

Dia wajar jadi penanda aras PTAM.

Farkhan sudah juara Asia, PTAM menang apa?