Siapa sangka pemain tengah pasukan bola jaring kebangsaan, Nur Fariha Abdul Razak, dahulunya lebih aktif dalam sukan silat olahraga.

Tidak hairanlah aksinya dalam setiap perlawanan menentang lawan cukup tangkas bak srikandi di medan perang.

Gadis berketinggian 165sm ini mencuri tumpuan setiap kali pasukan bola jaring beraksi, terutama dalam saingan Sukan SEA yang melabuhkan tirai baru-baru ini.

Dia pernah mewakili Johor dalam Sukan Malaysia (Sukma) menerusi acara silat olahraga.

Bukannya apa, pendapat peribadi saya sendiri ketika menonton perlawanan bola jaring melibatkan aksi beliau, seringkali terdetik dalam hati berkata "budak ni main bola jaring macam terbang sana-sini".

Posisinya sebagai pemain tengah semestinya memerlukan seseorang yang licik dan tangkas di samping cepat membuat keputusan di kala misi masing-masing adalah merebut bola nan satu dan menambah jaringan sebanyak mungkin.

Ketika mengecapi populariti sejak sukan bola jaring diberi lebih tumpuan akhir-akhir ini, Nur Fariha atau lebih dikenali sebagai Haa juga tidak terlepas daripada peristiwa yang hampir meruntuhkan semangatnya dalam memperjuangkan sukan bola jaring ketika ada yang pernah mempertikaikan kemampuan dan kelayakannya sebagai salah seorang pemain bola jaring negara.

Namun, gadis berusia 22 tahun ini mengambil langkah bijak untuk tidak cepat melatah, sebaliknya terus ingin membuktikan bahawa dia sememangnya layak berada di tempat sepatutnya, malah kini sehingga diangkat selaku wirawati negara.

Pemegang ijazah Sarjana Muda Pengurusan Teknologi ini berkata kemenangan merebut emas selepas 16 tahun dalam Sukan SEA baru-baru ini adalah seperti melengkapkan 'puzzle' setelah sekian lama.

Dia berterima kasih kepada keluarga, rakan-rakan dan penyokong yang mengikuti perkembangan mereka. Tidak lupa doa rakyat Malaysia agar terus berkekalan, tambahan dalam misi mereka mengejar kelayakan, seterusnya beraksi dalam Kejohanan Bola Jaring Dunia 2019 di Liverpool.