Farah Ann atlet contoh

Hasnizam Uzir
September 2, 2020 08:27 MYT
Lebih sedekad Farah Ann Abdul Hadi mengabdikan dirinya pada sukan yang di gemarinya, akhirnya gimnas negara itu yang kini berusia 26 tahun telah menyatakan hasratnya untuk bersara sebagai atlet gimnastik negara selepas berakhirnya temasya Sukan Olimpik Tokyo 2020 tahun hadapan. Ini telah dinyatakan sendiri oleh wakil Perseketuan Gimnastik Negara (MGF) kepada media semalam. Ini satu kehilangan besar kepada industri sukan gimnastik negara sekiranya benar apa yang diperkatakan itu kerana semua tahu bahawa Farah Ann adalah seorang gimnas yang penuh didikasi tinggi serta merupakan permata negara dalam sukan gimnastik dekad ni. Farah Ann Memulakan kerjayanya sebagai gimnas negara pada tahun 2010 ketika usianya masih belasan tahun di temasya Sukan Komenwel di New Delhi.

Itulah titik permulaan Farah Ann untuk terus melangkah jauh memburu cita-citanya dalam sukan gimnastik. Walaupun menghadapi pelbagai rintangan dan halangan tetapi Farah Ann tidak memgaku kalah sebaliknya terus fokus memburu cita-citanya untuk beraksi dalam temasya sukan yang paling berprestij di dunia iaitu Sukan Olimpik. Sebagaimana yang kita semua tahu Farah Ann pernah mengalami kecederaan yang serious sehingga beliau terpaksa berehat agak lama. Namun itu bukan penghalang sebaliknya beliau terus bangkit mengharumkan nama negara dengan membawa pulang kilauan pingat emas di beberapa temasya Sukan SEA. Itulah sikap dan karektor seorang pejuang yang dipamirkan Farah Ann sebagaimana falsafah hidupnya yakin dan percaya pada diri sendiri.

Bukan mudah sebagai atlet individu terutamanya wanita untuk menggembalikan prestasinya kepada tahap terbaik terutama untuk bersaing di peringkat antarabangsa setelah mengalami kecederaan kerana ia memerlukan kekuatan mental dan iltizam yang tinggi selain daripada sokongan moral yang diberikan keluarga,jurulatih dan rakan-rakan. Sebagai seorang atlet yang mempunyai pendidikan tinggi itu juga membantu Farah Ann untuk menggurus tadbir dirinya dengan baik sekali. Lihatlah bagaimana beliau boleh membahagikan masa dengan latihan,pertandingan dan aktiviti sosial beliau. Itulah yang dipanggil “Thinking Athlete” sebagaimana yang diinginkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia (KPT). Atas kebijaksanaan Farah Ann dalam menyusun atur perjalanan kerjaya sebagai gimnas negara akhirnya apa yang diimpikan dan diinginkan olehnya tercapai, apabila berjaya layak ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 secara merit apabila berjaya menduduki tangga ke 59 daripada 180 gimnas yang bertanding di Kejuaraan Gimnastik Artistik Dunia 2019 di Stuttgart,Jerman.

Perkara-perkara itulah yang menyebabkan penulis tertarik untuk berkongsi dengan semua pencinta-pencinta sukan tanah air terutama kepada anak-anak muda terutamanya perempuan dapat mencontohi jejak langkah bagaimana Farah Ann mengatur hidupnya dalam memburu impian dan cita-cita sebagai seorang atlet negara. Sama-sama kita sebagai rakyat Malaysia mendoakan agar Farah Ann sentiasa berada dalam keadaan kesihatan yang baik supaya Farah Ann dapat meneruskan impiannya beraksi di Olimpik Tokyo 2020 pada tahun hadapan yang telah ditunda akibat pandemik COVID-19. Selamat maju jaya kepada Farah Ann dan terus menjadi idola dan ikon sukan kepada generasi-generasi muda.