APABILA Tunku Ismail Sultan Ibrahim disahkan sebagai presiden keenam Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sejak 1951 dalam kongres badan induk itu hari ini, persoalan tertumpu kepada siapa bakal mengetuai urusetia FAM.

Sebagaimana persatuan lain, urusetia adalah enjin kepada organisasi.

Dalam hal FAM, ketua urusetianya adalah setiausaha agung.

Apakah Tunku Ismail akan mengekalkan Datuk Hamidin Mohd Amin, yang dilantik oleh Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah pada 2013 atau TMJ akan mengirim isyarat jelas bahawa wawasannya hanya boleh dilaksanakan oleh individu lebih muda dan berketrampilan?

Hamidin, bakal berusia 52 tahun Disember depan, adalah produk sistem bola sepak tempatan.

Memulakan pembabitannya sebagai ketua kelab penyokong Persatuan Bola Sepak Selangor, bekas pegawai bank itu dilantik menjadi setiausaha eksekutif FAS sebelum dinaikkan pangkat selaku setiausaha agung persatuan itu pada 1998.

Dianggap broker yang mencatur barisan kepimpinan FAM sejak pembabitannya sebagai ahli majlis yang berpengaruh, kekuatan Hamidin adalah kemahiran interpersonalnya dengan semua pemegang kepentingan.

Mendaki sehingga ke posisi Naib Presiden FAM sebelum melepaskan jawatan apabila dilantik setiausaha agung pada 2013, Hamidin melakar pengalaman sebagai timbalan pengerusi jawatankuasa futsal dan seterusnya pengerusi futsal dan bola sepak pantai serta pengurus pasukan.

Desas-desus bertiup kencang Hamidin akan dilantik menerajui Usahasama Liabiliti Terhad Bola Sepak Malaysia (FMLLP) yang mengurus liga.

Jika demikian, siapakah calon yang layak menggantikannya?

Dari kaca mata penulis, ada dua calon.

Jika TMJ mahukan urusetianya dipimpin oleh individu berpengalaman dan berusia matang, Safirul Azli Abu Bakar harus menjadi antara nama yang dipertimbangkan.

Selaku ketua pegawai eksekutif Pelan Pembangunan Bola Sepak Negara (PPBN), Safirul, 46 tahun, bertanggungjawab mengurus sistem sokongan projek berstatus nasional yang membabitkan pemain dari usia 7 hingga 17 tahun serta kelompok jurulatih tempatan dan asing.

Bekas penerbit Astro Supersport, pegawai media MyTeam dan pengarah pembangunan perniagaan dan media Sportswork itu memiliki ijazah sarjana muda sains dalam pentadbiran perniagaan, dengan pengkhususan utama dalam sistem maklumat komputer dan analisis kuantitatif.

Dengan kombinasi pengalaman di peringkat kementerian, politik, media, hak penyiaran, pengiklanan dan latar belakang teknikal, Safirul yang juga bekas pemain Kedah di peringkat sekolah boleh memberi nilai tambah dan menangani tekanan.

Jika TMJ mahukan seorang calon muda dalam kalangan Gen Y, orangnya pula tentu Izham Ismail yang lantang memperjuangkan nasib dan kebajikan pemain selaku ketua pegawai eksekutif Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM).

Memiliki ijazah sarjana muda undang-undang dari Universiti Malaya, ketokohan Izham terserlah sebagai Yang Dipertua, Majlis Perwakilan Pelajar, Universiti Malaya dan Felo Perdana, Pejabat Timbalan Perdana Menteri Malaysia.

Izham juga Ahli Jawatankuasa PPBN dan Ahli Lembaga, Kesatuan Pemain Bola Sepak Dunia (FIFPro) Divisyen Asia/Oceania, dengan reputasi sebagai pemimpin pelajar yang membentangkan kertas kerja bertajuk ‘Mengangkat Status Bola Sepak Malaysia Demi Kelangsungan Industri Sukan Lebih Mapan’ di depan Timbalan Perdana Menteri.

Safirul dan Izham adalah golongan profesional berilmu yang dijangka diberi ruang lebih besar merencanakan hala tuju bola sepak negara.

Mereka akan berdepan dengan proses agak perlahan apabila wujud pertembungan kaedah kerja tradisional dengan etika kerja profesional, namun langkah pertama ke arah satu transformasi harus diambil, apatah lagi FAM akan dipimpin presiden muda yang dinamik dan agresif.

Tidak mustahil Safirul yang meminati Manchester United boleh bergabung tenaga dengan Izham, seorang penyokong tegar Liverpool, bagi membantu TMJ melaksanakan wawasannya.

SETIAUSAHA AGUNG FAM
A.R SINGHAM (1940-1948)
S.C.E SINGAM (1948-1951)
DATUK KWOK KIN KENG (1951-1979)
DATUK PAUL MURUGASU (1980-1985)
DATUK PAUL MONY SAMUEL (1985-2000)
DATUK DELL AKBAR KHAN HYDER KHAN (2000-2005)
DATUK SERI DR IBRAHIM SAAD (2005-2007)
DATUK AZZUDDIN AHMAD (2007-2013)
DATUK HAMIDIN MOHD AMIN (2013-)