Pasukan Liverpool melalui tempoh yang amat baik musim ini dalam saingan Liga Perdana Inggeris apabila kekal memimpin carta liga dengan 57 mata selepas 22 perlawanan. Mereka hanya tewas sekali sahaja musim ini di tangan Manchester City pada aksi di Stadium Etihad.

Kekalahan itu meleburkan hasrat Liverpool untuk menjadi pasukan kedua yang tidak tewas di liga untuk semusim selepas Arsenal melakukannya pada tahun 2003.

Terbaru, Kloop memuji persembahan matang pasukannya yang menewaskan pasukan Brighton & Hove Albion biarpun mereka tidak beraksi pada tahap sebenar.

Menurut Klopp, pemainnya bergelut untuk mempamer prestasi terbaik namun masih mampu mengutip tiga mata berharga. Lima perlawanan selepas ini akan menyaksikan Liverpool beraksi empat kali di gelanggang sendiri dan Klopp mahu anak-anak buahnya memanfaatkan kelebihan yang mereka miliki.

Pengendali berusia 51 tahun itu muncul antara pengendali terbaik jika dibandingkan dengan tiga pengurus terdahulu (Roy Hodgson, Kenny Daglish, Brendan Rodgers) apabila mampu memacu Liverpool berada di takhta liga buat masa sekarang.

Malah, pemilihan pembelian pemain yang dilakukan oleh Klopp dilihat tepat dan biarpun ada sesetengah pihak beranggapan beliau membeli pemain dengan harga yang mahal, tapi lihat sahaja kualiti yang dimiliki pemain tonggak seperti Allison Becker dan Virgil Van Dijk.

Dalam masa sama, Klopp turut memberi ruang kepada pemain muda seperti Alexander Arnold dan Robertson untuk berada dalam kesebelasan utama sekaligus memperlihatkan keseimbangan dan keharmonian di dalam skuad yang memiliki pemain muda dan pemain berpengalaman.

“Gegenpressing” antara taktikal yang begitu digemari Klopp turut diterapkan dalam skuad Liverpool dan ianya benar-benar membantu persembahan pasukan.

Dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah, Liverpool berjaya melepasi peringkat kumpulan dan bakal berdepan pasukan gergasi dari Jerman, Bayern Munich. Pasukan Bayern Munich bukanlah asing bagi pengendali mereka , Jurgen Klopp memandangkan Klopp menghabiskan masa hampir 15 tahun di Bundesliga bersama pasukan Mainz 05 dan Borussia Dortmund.

Andai mereka mampu menyingkirkan Bayern Munich, tidak mustahil skrip sama melangkah ke pentas final mampu diulangi.