Anugerah gol tercantik atau lebih dikenali sebagai PUSKAS 2016 anjuran FIFA akan dimuktamadkan pada 9 Januari 2017.

Sebelum ini mungkin ia tidak begitu menarik minat kita untuk mengetahui siapakah pemenang kategori ini, berbanding Ballon D'or yang dianggap kemuncak kepada anugerah tahunan anjuran badan bola sepak dunia ini. Namun, tahun ini ia cukup istimewa kerana melibatkan salah seorang pemain tempatan, Faiz Subri.

Nama pemain Pulau Pinang ini sebenarnya mula meniti di bibir masyarakat dunia, sebaik video jaringan lencong menariknya pada saingan Liga Super mula menjadi bahan tularan di laman sosial.

Ramai yang memuji, namun tidak kurang juga yang mempersenda "nasib je tu". Faiz Subri pula tertekan kerana mungkin tidak dapat mengulangi kehebatannya itu pada masa depan.

Namun pada November, kata putus telah dibuat FIFA menyaksikan gol Faiz Subri antara 10 gol tercantik sepanjang 2016, bersama-sama jaringan pemain bintang, Lionel Messi yang hampir setiap tahun membarisi senarai ini.

Ketika inilah, lebih ramai pihak mula membuka mata dengan pemain yang pada awalnya dilabel "entah dari mana" ini, malah jaringan pemain Argentina itu pula dianggap "biasa-biasa" sahaja.

Nah! tidak hairanlah Faiz Subri mengisi kedudukan 3 calon akhir anugerah PUSKAS tahun ini, disebalik kehebatan pemain wanita Venezuela, Daniuska Rodriguez dengan aksi gelecek solonya yang turut meraih perhatian dunia.

Semua tahu bahawa PUSKAS diambil sempena nama legenda Real Madrid, Ferenc Puskas yang merekodkan 84 gol daripada 85 penampilan antarabangsanya. Ironinya, pemain Real Madrid, Cristiano Ronaldo merupakan penerima pertama anugerah yang diperkenalkan pada 2009 dan kini, Faiz Subri berpeluang berdiri setanding idolanya ini.

Siapa pun yang bakal dinobat selaku pemenang, Faiz Subri sudah pun "juara" di hati seluruh rakyat Malaysia. Namun jika mahu sejarah lebih besar dilakar di Zurich, peluang untuk menjadi sebahagian daripada kenangan ini masih terbuka.

Teruskan untuk mengundi gol Faiz Subri di www.fifa.com