Secara logiknya, jika kita amati dengan teliti sepakan Faiz yang dilakukan pada minit ke 63, ia mungkin tersasar jauh dari pintu gol Pahang. Tetapi sesuatu yang pelik dan luarbiasa berlaku apabila bola yang sepatutnya tersasar, melencong laju ke arah bertentangan dan kesudahannya - GOL !. Terlopong mulut bukan saja kita tetapi media antarabangsa !

Bayangkan dalam tempoh beberapa minit ia menjadi ` trending ` di media sosial dan beberapa jam selepas itu cerita tentang gol pelik Faiz Subri mula tersebar dalam banyak laporan portal dan media antarabangsa. Dari Amerika Syarikat, Australia, Ireland, United Kingdom sehinggalah Portugal semuanya menulis tentang gol pemain Pulau Pinang, Faiz Subri.

Kebanyakkan daripada media antarabangsa menganggap gol tersebut boleh dianggap gol terbaik dunia dan mampu tersenarai dalam Anugerah Puskas FIFA iaitu anugerah untuk gol yang dianggap terbaik daripada puluhan ribu gol sepanjang tahun. Dan ia merupakan anugerah yang diberikan dalam majlis sama dengan pengiktirafan pemain terbaik dunia Ballon Dor.

Masihkah anda ingat dengan gol pelik lagenda pemain pertahanan Brazil, Roberto Carlos 19 tahun lalu ? Walau beberapa kali beliau melakukan sepakan percuma ajaib tetapi gol ketika Brazil menentang Perancis di Tournoi de France ( kejohanan pemanas badan sebelum Piala Dunia 1998 ) paling diingati sehingga kini.

Apakah gol Roberto Carlos itu terhasil secara kebetulan ?

7 tahun selepas gol Roberto Carlos tercatat dalam sejarah bolasepak dunia, sekumpulan saintis mendedahkan bahawa gol yang dihasilkan pemain pertahanan Brazil menerusi sepakan percuma itu bukannya secara kebetulan.

Laporan Daily Mirror UK pada 2010 menyebut bahawa Professors Christophe Clanet and David Quere membuat pendedahan bahawa Roberto Carlos sememangnya sudah merancang untuk melakukan sepakan pelik tersebut. Ianya hanya boleh dilakukan dari jarak yang jauh, sepakan yang 'super' laju dan teknik yang luar biasa. Mereka menggelar sepakan itu sebagai 'spinning ball spiral'.

Tetapi sayang anugerah FIFA Puskas hanya wujud pada 2009, maka gol Roberto Carlos itu tidak menerima apa-apa pengiktirafan dari badan bolasepak dunia itu. Tetapi saya menganggap gol itu sebagai gila, tak masuk akal dan luar biasa!

Dalam tempoh 19 tahun sejak gol terkenal Roberto Carlos itu, ramai pemain di seluruh dunia turut berjaya melakukan gol melencong dari sepakan percuma tetapi ia tidak setanding dengan apa yang dilakukan Roberto sehinggalah muncul gol sensasi Faiz Subri!

Malah portal terkenal dari United Kingdom, Mirror.co.uk turut membuat undian gol siapa paling hebat ? Roberto Carlos atau Faiz Subri selain menulis artikel mengenai keajaiban gol pemain Pulau Pinang ini di http://www.mirror.co.uk/sport/row-zed/puskas-award-winner-2016-watch-7381611

Justeru saya juga menganggap Faiz Subri sebagai gila! dan berharap lebih ramai pemain tempatan menjadi gila seperti Fazi Subri!!!

Inilah jaringan yang dilakukan Faiz Subri.