Faiz Subri untuk Anugerah Puskas 2016? Hampir segala petunjuk adalah ke arah itu – kecuali barangkali satu.

Sejak namanya tersenarai antara 10 calon bagi anugerah berprestij Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) itu pada 23 November 2016, anak kelahiran Kampung Pida 6, Ayer Hitam, Kedah ini sudah pun diletakkan di kedudukan teratas.

Harus diingat, pada waktu itu dia tersenarai dalam kalangan Lionel Messi, Neymar dan Hal Robson-Kanu, antaranya, bagi gol terbaik pada 2016 mengikut penilaian tiga anggota panel tersohor, Marco Van Basten, Gabriel Batistuta dan Marta, yang menyaring ratusan mahupun ribuan gol di antara 30 September 2015 dan 30 September 2016 yang dicalonkan.

Daripada undian umum yang dibuka bagi pusingan pertama itu, tiada lagi Messi, Neymar mahupun Robson-Kanu yang kekal apabila senarai akhir tiga calon diumumkan pada 2 Disember.

Apakah ia mengejutkan? Tidak, jika disandarkan kepada beberapa petunjuk yang ada pada waktu itu.

Semakin hampir kepada detik kemuncak pengumuman pemenang pada awal pagi Selasa waktu tempatan, semakin rancak pula syarikat-syarikat pertaruhan, yang kebanyakannya berpangkalan di London, menawarkan kebarangkalian masing-masing.

Sejak 10 pencalonan pusingan pertama itu lagi, Mohd Faiz diletakkan pada kedudukan berkemungkinan terbesar (odds-on) untuk menang pada kebarangkalian 3/1, disusuli Messi 7/2, Mario Gaspar 9/2, Neymar 5/, Robson Kanu 7/1, Marlone 8/1, Saul Niguez 10/1, Hlompho Kekana 12/1 dan Daniuska Rodriguez 12/1.

Bleacherreport.com dalam tinjauannya secara di atas talian terhadap tiga calon finalis pula, mengeluarkan peratusan seperti berikut: Faiz Subri 73.5%, Marlone 17.1% dan Daniuska 9.4%.

SkyBet menyenaraikan Mohd Faiz Subri pada 8/11, Marlone 5/2 dan Daniuska Rodriguez 3/1, dibandingkan dengan BetVictor yang menampilkan Mohd Faiz Subri 11/10, Marlone 7/4 dan Daniuska 11/4.

BetStars turut menampilkan Faiz sebagai pilihan terhangat pada kebarangkalian 3/1 manakala NicerOdds menyenaraikan kebarangkalian berikut: Faiz 1.83, Marlone 3.25 dan Daniuska 4.00.

Salah satu laman sesawang ‘bookmaker’ memaparkan: “Faiz Subri adalah pilihan hangat BetVictor pada kebarangkalian -0.91” serta menambah, “Sepakan percuma Faiz menghasilkan lebih pergerakan bola daripada jaringan terkenal sepakan percuma Roberto Carlos untuk Brazil ketika menentang Perancis pada 1997.”

Sebuah lagi laman sesawang seumpamanya menyatakan, “Gol Faiz Subri dinilai jauh mengatasi Marlone dan Rodriguez dan kerana itu, gol Faiz Subri dipertaruhkan sebagai kemungkinan terbesar (odds-on) untuk menang kali ini.”

Itu persepsi syarikat-syarikat pertaruhan yang harus mempunyai perkiraan mereka sendiri.

Tidak ketinggalan, akhbar-akhbar utama di Britain turut merakamkan kekaguman terhadap keajaiban jaringan Faiz hingga ada yang merumuskan golnya ketika Pulau Pinang menundukkan Pahang 4-1 dalam perlawanan Liga Super pada 16 Februari 2016 itu selayaknya menerima Anugerah Puskas.

Majalah antarabangsa FourFourTwo turut mengangkat jaringan Faiz sebagai yang tercantik daripada 10 gol yang tercalon, dengan mengungkapkan: “Menewaskan penjaga gol dengan satu rembatan gemilang adalah satu perkara. Menidakkan hukum fizik adalah satu perkara lain.

“Itulah yang Faiz lakukan dengan sepakan percuma lencongnya – lencongannya benar-benar menakjubkan, dengan bola berlegar dari satu arah ke arah berbeza sebelum menerjah ke penjuru atas pintu gol.

“Ia adalah satu gol yang masih kelihatan mustahil selepas berdozen-dozen tontonan (percayalah kami) dan harus bertepatan untuk memenangi Anugerah Puskas 2016. Bravo.”

Cuma bezanya, anugerah berkenaan bukan ditentukan oleh persepsi penerbitan antarabangsa mahupun kebarangkalian syarikat pertaruhan, sebaliknya undian peminat bola sepak di seluruh dunia.

“Jika Cristiano Ronaldo atau Lionel Messi yang melakukan jaringan itu, ia dipanggil genius, tapi apabila ia gol Faiz Subri, maka ia harus dengan bantuan angin,” tulis [email protected] di laman Facebook SkyBet.

Barangkali itulah realitinya dalam pada kita mengharapkan nama Faiz Subri akan sebaris dengan Cristiano Ronaldo (2009), Hamid Altintop (2010), Neymar (2011), Miroslav Stoch (2012), Zlatan Ibrahimovic (2013), James Rodriguez (2014) dan Wendell Lira (2015) dalam senarai pemenang.

Jangan lupa masih ada sedikit waktu untuk terus mengundi Faiz Subri memenangi Anugerah Puskas di www.fifa.com.

Saksikan juga secara langsung majlis Anugerah Bola Sepak FIFA 2016 di Astro Arena pada 10 Januari 2017, jam 1.30 pagi di saluran 801 dan 802HD.