Kegilaan video viral terbaru – Cabaran Mannequin – nampaknya kini turut melanda Persatuan Bolasepak Selangor (FAS).

Seperti cabaran yang menjadi ikutan ramai itu, tiada siapa yang bergerak, tiada tutur kata yang diungkapkan dan tiada isyarat yang mampu diberikan di kala ia menuntut semua yang terbabit patuh kepada tuntutan berkenaan.

Ia mungkin sekadar gurauan dengan mencontohi persis mannequin yang kaku, tapi apabila ia membabitkan sebuah persatuan dan pasukan yang penuh tradisi dan kegemilangan dalam sejarah bola sepak Malaysia, ia harus bukan lagi satu jenaka.

Bayangkan senarionya sepanjang kira-kira seminggu lalu dan anda harus bersetuju yang FA Selangor seolah-olah sarat dengan ‘boneka pakaian’ yang seakan-akan tidak pun peka atau ambil peduli dengan perkembangan di sekeliling mereka.

Dua musim berturut-turut PKNS FC berjuang dalam Liga Perdana dengan hasrat untuk kembali ke Liga Super. Sejurus melakukannya musim ini, keinginan kelab itu tertangguh atau hampir saja terbatal hanya kerana perilaku ‘barisan mannequin’ dalam FAS.

Disyaratkan mendapat sokongan dan restu FAS untuk meraih hak bertanding dalam Liga Super musim 2017, PKNS FC terus ternanti-nantikan jawapan yang tidak kunjung tiba di sebalik Usahasama Liabiliti Terhad Bolasepak Malaysia (FMLLP) menangguhkan seminggu tarikh tutup penyertaan buat mereka.

Apakah FAS tidak inginkan PKNS – ahli gabungannya sendiri – kembali bersaing dalam Liga Super? Kalau pun benar demikian, apakah untungnya buat FA Selangor?

Dengan PKNS kini sudah mendapat restu bertanding apabila memilih keluar daripada FAS dan sebaliknya bergabung dengan Persatuan Bola Sepak Melayu Selangor (PBSMS) berkuatkuasa 6 Disember lalu – satu langkah yang dilihat menempelak FA Selangor – pasukan Selangor sendiri yang kini kelihatan terancam.

Tanpa jaminan dana daripada Kerajaan Selangor dan kesuntukan masa untuk mencari penaja, mana mungkin pasukan Merah Kuning itu dapat menyiapkan barisan pemain, tenaga import dan jurulatih barunya selepas mereka menamatkan musim 2016 tanpa trofi.

Anehnya, Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), Rosman Ibrahim, dipetik sebagai berkata pihaknya tidak mendapat sebarang makluman daripada Presiden FAS, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, sebaliknya:

"Presiden tidak menyatakan mengenai kami tidak akan menerima dana dan yang terbaru, akhbar melaporkan kami tidak boleh menggunakan Stadium Shah Alam sebagai stadium rasmi kami. Semua perkhabaran tersebut kami hanya mengetahuinya melalui akhbar.”

Apakah semua ini? Tidakkah ia relevan dengan tajuk di atas?

Barangkali apa yang lebih diperlukan barisan kepemimpinan FAS ketika ini ialah cabaran yang sama-sekali berbeza – Cabaran Baldi Ais – untuk mengejutkan mereka daripada lamunan.