Max Verstappen meraih petak pertama Grand Prix (GP) Amerika Syarikat (AS) untuk menamatkan penguasaan Mercedes tetapi pendahulu kejuaraan itu akan ditemani Lewis Hamilton di petak hadapan dalam perlumbaan di Austin.

Bintang Red Bull itu mengetepikan Hamilton di tempat pertama dalam detik kelam kabut dan pencabar yang juara bertahan, Mercedes, belum cukup pantas dalam sesi kelayakan.

Ia mengakhiri rekod Mercedes meraih enam petak utama berturut-turut di AS selain mencerminkan cabaran yang mereka bakal dihadapi, khususnya daripada Verstappen musim ini.

Mengetepikan kekecewaan itu dengan serta-merta, Hamilton berkata: "Kami masih di kedudukan yang baik jadi semoga ia akan menjadi perlumbaan yang memihak kami."





Hamilton juga mengjangkakan penonton di Litar Americas di Austin pasti akan disajikan hiburan.

"Tumpuan kami adalah untuk memenangi perlumbaan dan menawarkan peminat perlumbaan terbaik untuk disaksikan," kata pemandu Britain itu.

"Saya mahu memberikan segala-galanya. Hari ini kami agak bergelut dalam sesi kelayakan. Saya gembira dengan pusingan terakhir, sudah tentu sentiasa ada aspek yang boleh diperbaiki tetapi saya fikir kami menghampiri kemampuan sebenar. Kami akan bekerja keras esok."

Berpuas hati dengan corak pemanduannya, Verstappen pula berkata: "Ia agak mengujakan di luar sana. Sesi kelayakan pertama tidak memuaskan tetapi tetapi dalam pusingan terakhir ia mula menjadi kemudian hujan renyai-renyai turun.

"Saya tidak pasti akan bertahan ketika itu tetapi ia sudah memadai dan tentu saja meletakkan saya di petak depan. Kami menguasai petak pertama dan ketiga sebagai sebuah pasukan, saya rasa ia persembahan yang sangat mantap."

Dia yang mendahului Hamilton dengan enam mata dalam senarai pemandu juga sudah bersedia menghadapi saingan sengit.

"Saya rasa itulah yang digemari orang ramai. Dari sini dan seterusnya kami semestinya berharap untuk memiliki permulaan yang baik dan bekerjasama sebagai sebuah pasukan untuk mendapatkan keputusan yang terbaik."