Hasrat Max Verstappen untuk mencabar gelaran tergugat apabila catatan pusingan terbaiknya dibatalkan selepas dia sedikit terkeluar dari trek, sekali gus terpaksa menyerahkan petak depan Grand Prix (GP) Portugal kepada Valtteri Bottas.

Kali terakhir pemandu Formula Satu (F1) yang mewakili Red Bull itu menang ialah di Imola dan pasukannya sekali lagi kelihatan menikmati rentak terbaik di Portimao dalam pusingan kelayakan.

Begitupun, Verstappen mengadu jenteranya kurang pantas di jalan lurus dalam sesi pertama (Q1) selain bergelut dengan cengkaman dalam cuaca berangin di Algarve.

Tindakannya mengelakkan kemalangan di selekoh keempat Q3 menyaksikannya melangkui had trek, lalu sesi Q1 menjadi sandarannya.

Ini bermakna Bottas akan bermula di petak depan selepas mencatat kepantasan 1 minit 18.348 saat sementara rakan sepasukannya di Mercedes, Lewis Hamilton, terlepas kedudukan pertama buat kali ke-100 dalam kariernya untuk menyambar petak kedua dengan hanya dipisahkan 0,007 saat.




Verstappen, melakar kepantasan 1:18.209s yang dibatalkan, mengakui langsung tidak gembira dengan cabaran yang ditawarkan di Litar Antarabangsa Algarve itu namun sedia berjuang apabila bermula di belakang dua pelumba Mercedes berkenaan.

"Secara keseluruhannya sesi kelayakan sangat sukar untuk diharungi, saya bergelut dengan cengkaman tayar," katanya.

"Saya cukup yakin dapat melakukan pusingan yang baik, tetapi saya telah diganggu oleh sebuah kereta di depan yang dalam selekoh terakhir.

"Sudah tentu ia tidak bagus, kami akan berusaha memberikan mereka (Mercedes) saingan dan lihat apa yang mampu kami lakukan. Semoga semuanya stabil, setakat ini memandu di sini tidak begitu seronok."

Kedudukan kelayakan:

1. Valtteri Bottas (Mercedes) 1:18.348
2. Lewis Hamilton (Mercedes) +0.007s
3. Max Verstappen (Red Bull) +0.398s
4. Sergio Perez (Red Bull) +0.542s
5. Carlos Sainz (Ferrari) +0.691s
6. Esteban Ocon (Alpine) +0.694s
7. Lando Norris (McLaren) +0.768s
8. Charles Leclerc (Ferrari) +0.958s
9. Pierre Gasly (AlphaTauri) +1.127s
10. Sebastian Vettel (Aston Martin) +1.311s