Pelumba import Terengganu Cycling Team (TSG), Metkel Eyob, menganggap kekurangan pengalaman beraksi di rantau Asia bukan penghalang untuknya membantu pasukan meraih kejayaan dalam saingan Le Tour de Langkawi (LTDL) 2018.

Reputasi TSG sebagai antara pasukan utama bertaraf benua di Asia mendorong Eyob untuk menyertai pasukan itu, musim ini.

Pelumba yang berasal dari Habsyah itu mempunyai pengalaman luas dalam perlumbaan berbentuk jelajah kerana pernah mewakili pasukan yang berpangkalan di Afrika Selatan, Dimension Data, sebelum ini.

Namun, dia mengakui untuk berlumba dalam perlumbaan di rantau Asia merupakan pengalaman baru dan menganggapnya sebagai sebagai satu cabaran buat dirinya.

"Ya, saya bersama Dimension Data tahun lalu tetapi berdepan sedikit masalah berkaitan visa, jadi saya bertukar pasukan kali ini.

"Ini adalah kali pertama saya di Asia dan saya perlu melihat aksinya terlebih dahulu. Sebab itu saya menyertai TSG," katanya.

Selain Eyob, TSG turut diperkuatkan dua lagi import, iaitu Ovechkin Artem dari Russia dan pelumba kelahiran Australia, Drew Morey, manakala baki tiga lagi pelumba akan diterajui wakil tempatan, iaitu gandingan adik-beradik Zamri dan Hariff Salleh serta Shahrul Mat Amin yang juga pelumba tempatan terbaik LTDL dalam edisi tahun lalu.

Shahrul percaya kombinasi yang ditampilkan kali ini dapat membantu TSG meraih kedudukan yang lebih baik, khususnya dalam kategori keseluruhan perlumbaan.

"Sekarang kami agak serasi. Pelumba-pelumba luar memang memiliki kelebihan dalam bahagian pendakian," ujarnya.