Bekas pengurus Arsenal, Arsene Wenger, percaya penalti yang diraih England dalam masa tambahan ketika menang 2-1 dalam aksi separuh akhir Euro 2020 ke atas Denmark tidak seharusnya diberikan.

Harry Kane menjaringkan gol kemenangan England pada minit ke-104, Kane menolak masuk gol biarpun sepakan penalti awalnya diselamatkan penjaga gol, Kasper Schmeichel.



Raheem Sterling meraih penalti tersebut ketika menuju masuk ke dalam kotak penalti sebelum dikasari Joakim Maehle.

Sterling menjelaskan selepas perlawanan bahawa ia jelas penalti tetapi Wenger -- kini bertindak sebagai Ketua Pembangunan Bola Sepak Global FIFA -- tidak bersetuju, menegaskan VAR seharusnya memanggil pengadil perlawanan, Danny Makkelie, untuk sekurang-kurangnya melihat ulang tayang insiden tersebut.

"Tiada penalti. Dalam situasi begitu, saya tidak memahami mengapa mereka [VAR] tidak meminta pengadil untuk mendapatkan pandangan yang lebih jelas," kata Wenger kata kepada beIN SPORTS.

"Dalam keadaan tersebut, penting bagi pengadil untuk mengesahkan keputusan yang telah diberikan. Ia tidak cukup jelas untuk mengatakan ia terang-terangan adalah penalti.

"Dia sekurang-kurangnya pergi melihat ke skrin. Saya tidak tahu mengapa VAR tidak meminta pengadil itu untuk pergi melihatnya."


Bekas pengendali Arsenal berusia 71 tahun itu tidak berpandangan bahawa VAR telah mengecewakan Denmark, namun melabel mereka 'tidak bernasib baik'.

"Saya berasakan VAR telah mengecewakan pengadil, bukan Denmark," kata Wenger.

"Denmark agak malang. Sukar untuk pengadil tetapi dia perlu melihatnya."

Ia merupakan penalti yang ke-17 diberikan dalam saingan Euro 2020, dengan percubaan awal Kane merupakan yang kelapan gagal dilunas sepanjang saingan kali ini.

Hanya 13 penalti diberikan secara keseluruhan dalam peringkat kumpulan sepanjang tiga edisi Kejuaraan Eropah.

Minggu lalu, ketua pengadil UEFA Robert Rosetti berkata sistem VAR adalah faktor kenaikan penalti dalam kejohanan ini.

England akan bertemu Itali awal pagi Isnin dalam final Euro 2020 di Wembley.