Didier Deschamps gusar dengan tahap kecergasan dua pertahanannya, Lucas Digne dan Lucas Hernandez, pada ketika Perancis sedang membuat persiapan bagi menghadapi pusingan kalah mati Euro 2020.

Perancis menamatkan saingan Kumpulan F di tangga teratas selepas terikat 2-2 dengan Portugal, di mana Jerman turut layak ke pusingan 16 selaku naib juara.

Pasukan juara dunia itu berada di depan menerusi dua gol Karim Benzema -- gol peringkat antarabangsa pertamanya sejak 8 Oktober 2015 -- tetapi terpaksa berpuas hati menamatkan perlawanan itu dengan keputusan seri, di mana pemain tengah, Adrien Rabiot, terpaksa beraksi di posisi pertahanan kiri.

Deschamps mengeluarkan Hernandez pada waktu rehat gara-gara kecederaan lutut ringan selepas pemain Bayern Munich itu turut dilayangkan kad kuning pada minit ke-36.

Pemain gantian, Digne, turut tidak bertahan lama dan ketua jurulatih Perancis itu mengesahkan dalam sidang media selepas perlawanan bahawa pemain Everton berkenaan terpaksa melupakan baki kempen kali ini.

Ditanya mengenai perkembangan kedua-dua pemain itu, Deschamps berkata kepada media: "Yang paling membimbangkan adalah kecederaan Lucas Digne.

"Dia mengalami kecederaan otot. Dia berasa ketegangan di belakang pahanya. Ia amat rumit (untuk meneruskan kempen Euro 2020).

"Lucas Hernandez juga mengalami kecederaan kecil, lututnya mengalami sedikit kesakitan. Saya tidak mahu mengambil sebarang risiko.

"Malang dalam perlawanan itu apabila saya kehilangan mereka berdua serentak.

"Kami akan melihat keadaan Hernandez dalam beberapa hari ini," katanya.

Selaku juara Kumpulan F, Perancis akan berdepan Switzerland di Bucharest awal pagi Selasa depan.