Joao Moutinho menggesa rakan sepasukannya di Portugal agar tidak terlalu mencuba untuk menghalang perancang Belgium, Kevin De Bruyne, menjelang perlawanan pusingan 16 Euro 2020 awal pagi esok.

De Bruyne kembali menyemarakkan prestasi Belgium dalam dua perlawanan terakhir selepas terlepas aksi pembukaan Kumpulan B menentang Russia berikutan kecederaan muka yang dialaminya dalam final Liga Juara-Juara Eropah (UCL).

Satu bantuan jaringan dan gol kemenangan yang dihasikan pemain tengah Manchester City itu menyaksikan skuad kendalian Roberto Martinez berkenaan bangkit menewaskan Denmark 2-1 dalam babak kedua perlawanan kedua.

Belgium kemudian memastikan kemenangan bersih dalam saingan peringkat kumpulan dengan kemenangan 2-0 ke atas Finland, di mana De Bruyne muncul pencetus jaringan ketiga Romelu Lukaku dalam kejohanan itu.

Sejak Piala Dunia 2014, De Bruyne telah mencipta 71 peluang dalam kejohanan utama (Piala Dunia dan Euro), rekod tertinggi dalam kalangan pemain Eropah sepanjang tempoh itu.

Moutinho mungkin akan dipertanggungjawabkan untuk mengekang De Bruyne menjelang penentuan ke suku akhir itu tetapi menegaskan bahawa pasukannya tidak boleh menumpukan hanya kepada seorang pemain.

"Kevin amat berkemampuan, kami perlu berhati-hati tetapi tidak boleh hanya fokus kepada seorang pemain," kata pemain tengah Portugal itu dalam sidang media.



"Jika dia mempunyai ruang untuk bermain, ia akan menjadi lebih berbahaya. Sebagai satu pasukan, kami perlu meminimumkan kekuatan mereka dan melakukan apa yang kami biasa lakukan, bukan hanya fokus kepada De Bruyne.

"Jika pengurus berasakan saya seorang pemain yang mempunyai perwatakan untuk berdepan Belgium, saya akan melakukannya. Mencuba untuk menyuntik pengalaman dan rentak yang saya miliki dalam perlawanan ini yang cukup menarik minat kami.

"Saya dapat memberikan yang terbaik, itulah yang kami semua mahukan, untuk pasukan kami mencapai sasaran," katanya.