Penjaring gol kemenangan Russia, Aleksey Miranchuk, tidak gusar dengan keadaan pasukannya yang melepaskan banyak peluang ketika menewaskan Finland 1-0 dalam Euro 2020 malam tadi.

Pemain berusia 25 tahun itu menjaringkan gol tunggal perlawanan untuk skuad kendalian Stanislas Cherchesov itu meraih kemenangan pertama yang menghidupkan peluang mereka untuk ke pusingan kalah mati.

Bagaimanapun, Russia sepatutnya memperoleh kemenangan lebih selesa berdasarkan 14 percubaan yang dihasilkan mereka berbanding 11 buat pihak lawan.

Namun, ia bukanlah sesuatu yang menggusarkan Miranchuk dengan penyerang itu menegaskan bahawa tiga mata yang diraih mereka itu perkara paling utama selepas tewas kepada Belgium dalam perlawanan pembukaan peringkat kumpulan.

Dia berkata kepada Match TV: "Di peringkat seperti ini, kemenangan merupakan perkara paling penting. Kami perlu menyelesaikan tugas itu dan bergerak ke depan.

"Kami terlepas banyak peluang? Itulah bola sepak. Ia sesuatu yang penting untuk kami mencipta peluang," katanya.

Gol Miranchuk dalam waktu kecederaan separuh masa pertama merupakan hasil gerakan sepasukan dengan Artem Dzyuba diletakkan selaku pengempur utama dalam kawasan penalti.

Ditanya perasaannya untuk beraksi di samping penyerang berpengalaman seperti itu dan bahaya yang mampu dicetuskan Aleksandr Golovin, dia menambah: "Terdapat keperluan, terdapat taktik.

"Kebijaksanaan dalam bola sepak membolehkan anda untuk memahami sesama sendiri dan dapat rasakan perasaan sesama sendiri. Kami sentiasa mencuba untuk melayakkan diri."