Jordan Pickford bilik kebal England tapi Gianluigi Donnarumma aset lebih berharga Itali .

Euro 2020 banyak menyerlahkan ketangkasan penjaga gol seperti bintang Switzerland, Yann Sommer, dan Kasper Schmeichel yang menyelamatkan deretan percubaan menarik sebelum disingkirkan England dalam separuh akhir Isnin lalu.

Pertembungan perlawanan akhir di antara England dan Itali di Stadium Wembley, awal pagi esok, pastinya epik.

Masing-masing berwajah baru, skuad Azzuri lebih garang tanpa mengorbankan resepi seni bertahan sementara barisan muda England semakin dihormati sesudah menamatkan penantian sejak 1966 untuk ke menjejak kaki ke final.

Pickford selaku pilihan nombor satu di pintu gol The Three Lions mendahului trofi Sarung Tangan Emas Euro 2020 apabila hanya bolos sekali, itu pun -- selepas lima perlawanan -- perlu melalui sepakan percuma memukau Mikkel Damsgaard.




Pencapaian rakan seposisinya, Donnarumma, pula di belakangnya dengan tiga rekod bersih dan tiga gol dilepaskan.

Pickford mematahkan 11 percubaan sementara Donnarumma melakukan sembilan penyelamatan.

Kedua-dua pasukan menggunakan percaturan permainan berbeza sekalipun memperlihatkan kecederungan menghukum lawan dengan serangan balas.

Namun, posisi penjaga gol mampu menjadi penentu mutlak dalam perhitungan ini.

Di Itali, nama Donnaruma kembali dijulang dihujani kecaman berhubung perpindahannya ke Paris Saint-Germain (PSG) apabila menyelamatkan dua penentuan penalti untuk menyingkirkan Sepanyol 4-2, lima hari lalu.




Berbeza pula dengan Pickford yang tampak gemuruh selepas gagal menguis keluar rembatan padu Damsgaard itu.

Dia melakukan beberapa kesilapan termasuk balingan. Pada suatu ketika, dia seolah-olah mahu mengelak daripada memulakan gerakan dari belakang apabila terus melakukan sepakan gol terus ke depan meskipun Harry Maguire memintanya melorongkan bola.

Pastinya Itali akan menggunakan kesempatan seperti ini untuk menjerat kekentalan pemain Everton tersebut.

"Perkara utama buat seorang penjaga gol ialah bukan seberapa banyak dia menyelamatkan percuma, sebaliknya berkenaan kesilapan mudah.

"Usah undang ketidakstabilan," kata pengurus Roma, Jose Mourinho, yang merujuk Pickford sebagai kelemahan utama England kepada TEAMtalk.