Harry Kane menyamai rekod Gary Lineker sebagai pemain yang menjaringkan gol terbanyak buat England dalam kejohanan utama sebaik membantu kemaraan The Three Lions ke final Euro 2020 awal pagi tadi.

Kane menjaringkan gol daripada bola muntah selepas sepakan penaltinya diselamatkan penjaga gol Denmark, Kasper Schmeichel, dalam masa tambahan di Stadium Wembley awal pagi tadi.

Ia memberikan England kemenangan 2-1 selepas gol sendiri Simon Kjaer memadamkan jaringan pembukaan Mikkel Damsgaard buat Denmark.

Schmeichel menyelamatkan sepakan penalti lemah Kane -- yang diperoleh selepas Raheem Sterling dijatuhkan -- tetapi kapten England itu menyambar bola muntah di depannya sebelum tenang menjaringkan golnya yang ke-10 dalam kejohanan utama.

Ia menyaksikan Kane menyamai rekod yang sebelum ini hanya dipegang legenda England, Lineker.

Kesemua gol Kane dalam kejohanan utama dijaringkan dengan menggunakan kaki kanan (tujuh) dan kepalanya (tiga).


Bintang Tottenham itu menjaringkan enam gol dalam Piala Dunia 2018 dan mengulangi pencapaian Lineker memenangi Anugerah Kasut Emas pada 1986.

Selepas permulaan perlahan dalam Euro 2020, Kane kemudian menjaringkan empat gol dalam tiga perlawanan peringkat kalah mati dan akan memecahkan rekod baru seandainya menemui sasaran ketika England menentang Itali dalam final di venue sama awal pagi Isnin ini.

Kane juga hanya ketinggalan di belakang Cristiano Ronaldo dan Patrik Schick (lima gol) dalam perebutan Kasut Emas Euro 2020.