Giorgio Chiellini mendedahkan bahawa skuad Itali pernah berasakan Roberto Mancini sudah "gila" ketika ketua jurulatih Azzurri itu membentangkan perancangan awalnya untuk memenangi Euro 2020.

Mancini dilantik pada Mei 2018 selepas skuad Azzurri itu gagal melayakkan diri ke Piala Dunia.

Selepas menjalani transformasi bersama Mancini, Itali kemudian merekodkan 33 perlawanan tanpa kalah yang membawa mereka ke final Euro 2020 untuk bertemu England di Stadium Wembley awal pagi Isnin ini.

Sama seperti lawan mereka di pentas final kali ini, Itali juga menjadi pasukan yang paling mencuri tumpuan dalam Euro 2020 dengan menyingkirkan pasukan pilihan seperti Belgium dan Sepanyol sepanjang laluan mereka ke final.

Pemain veteran Juventus, Chiellini, menjadi tunjang utama Itali dalam proses itu menerusi empat penampilannya.

Dan walaupun Itali dalam keyakinan tertinggi menjelang penentuan kejuaraan itu, pertahanan berkenaan mendedahkan betapa pada satu ketika perancangan yang dibuat Mancini itu amat sukar untuk dipercayai.

"(Layak ke final) merupakan satu impian yang dikejar kami sejak beberapa tahun lalu, impian yang telah digalas kami sejak tiga tahun lalu, impian yang secara perlahan-lahan disuntik oleh jurulatih ke dalam minda kami sehinggalah ia menjadi kenyataan," kata Chiellini kepada UEFA.com.

"Pada permulaannya, apabila dia meminta kami memikirkan untuk memenangi Euro, kami fikir dia sudah gila tetapi sepanjang beberapa tahun ini, dia telah mencipta sebuah pasukan yang kini sudah hampir untuk melakukannya.

"Dan dia sentiasa mengingatkan kami selepas setiap perlawanan, 'satu sentimeter bagi satu masa' dan kami kini hanya tinggal satu sentimiter terakhir.

"Kejohanan ini telah menjadi amat beremosi dari perlawanan pertama menentang Turki sehingga hari ini.

"Tetapi jika saya lihat semula mesej yang saya kirimkan kepada teman-teman rapat saya sebelum Euro 2020, perasaannya adalah kami akan memperoleh musim panas yang penuh dengan emosi, kegembiraan, malam magis dan pengembaraan.

"Ia berada dalam diri kami kerana anda dapat rasakan perasaan senang dan keakraban yang kami rasakan ketika bersama dalam pasukan ini," katanya.